Ringkasan keseluruhan hari kedua Grand Final FFCS S2, Pando EWG kekal watak ‘underrated’

Artikel ini ditulis oleh Firas Aliyan Idris

Siri Cabaran Free Fire (FFCS) musim kedua peringkat Grand Final sudah berakhir semalam. Geek Fam sudah ditabalkan sebagai juara bagi edisi kali ini dengan 209 mata keseluruhan.

Farang menghuni posisi kedua keseluruhan dengan 206 mata, diikuti Pando EWG mengumpul 199 mata keseluruhan.

Pasukan Axis agak kurang menonjol bagi hari kedua Grand Final kerana hanya berpuas hati di kedudukan keempat dengan 188 mata. Pasukan Filipina, Anxiety dan Bloody Head berjaya mengekalkan tempat di enam teratas Grand Final.

Dalam pada itu, Pando EWG melakukan kejutan selepas meraih tempat ketiga keseluruhan walaupun kebanyakan kejohanan yang lalu hanya berakhir di pertengahan carta sahaja.

Suatu pencapaian yang memberangsangkan bagi Pando EWG yang memegang status underrated dalam kejohanan rasmi Garena Free Fire kali ini.

“Kami amat bangga dengan pencapaian pasukan pada kali ini, walaupun bukan sebagai pasukan pilihan,” komen Hafizal Iqmal Ruslam (Jayz) ketika dihubungi MyGameOn.

Dia juga tidak sangka akan dinobatkan sebagai MVP bagi Grand Final FFCS kerana kejohanan ini dipenuhi deretan pemain berpengalaman dan berskil tinggi.

Usaha tidak pernah mengkhianati hasil.

“Kami lakukan analisis secara terperinci dan latihan hingga lewat malam untuk memastikan ahli pasukan diberi input yang membantu mereka dalam permainan,” jelasnya

JayZ juga teruja pasukannya mendapat slot automatik ke MCPS S4 yang dijangka berlangsung pada September dan menganggap itu adalah cabaran sebenar bagi pasukannya.

Pasukan Pando EWG adalah organisasi e-sukan yang bertapak di Pahang. Walaupun sekadar berpuas hati di posisi keenam pada peringkat liga tetapi pasukan itu melakukan kejutan apabila bangkit di Grand Final dan mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga keseluruhan dengan 199 mata.

RELATED NEWS

+