VCT: Acend, Gambit dan Sentinels mara ke Playoffs

Perlawanan peringkat kumpulan berakhir dengan pasukan Acend, Gambit dan Sentinels berjaya menempah tempat di pusingan Playoffs dengan menewaskan lawan masing-masing semalam.

Mereka akan mengikuti 100 Thieves, Vision Strikers, G2 Esports, Team Envy dan KRU Esports yang sedang menanti mereka.

Acend dan SuperMassive Blaze pada awalnya memberikan perlawanan yang cukup sengit.

Pada awalnya, SuperMassive Blaze mengawal perlawanan pertama dengan menewaskan Acend di peta Ascent 13-6. Acend kemudiannya mula memperoleh rentak di peta kedua, Bind, dengan mengawal separuh masa pertama 9-3 sebelum menghabiskan perlawanan dengan menang 13-7. 

Di peta penentuan, Split, perlawanan menjadi lebih sengit. Highlight terbaik apabila pemain Acend, Vlad “kiles” Shvets berjaya clutch menentang dua pemain daripada SuperMassive Blaze. Perlawanan berakhir dengan Acend berjaya memperoleh kemenangan 13-10.

Perlawanan kumpulan C, Gambit menentang Crazy Raccoon juga tidak kurang hangatnya. Meskipun Crazy Raccoon terpaksa akur dengan kekalahan, tetapi persaingan mereka terhadap pasukan Russia itu cukup baik.

Perlawanan bermula dengan Ascent sebagai peta pertama. Crazy Raccoon mendahului pada enam perlawanan pertama di Ascent, sebelum Gambit berjaya mengawal kegilaan Crazy Raccoon pada separuh masa pertama dengan 5-7.

Pada separuh masa kedua, Gambit mula mengganas dengan hanya memberikan satu kemenangan kepada Crazy Raccoon dan menundukkan mereka dengan 13-8.

Kedinginan di Icebox tidak menghalang kedua-dua pasukan ini memberikan perlawanan yang sengit. Kedua-dua pasukan berjaya membawa pusingan kedua hingga ke Overtime sebelum Gambit berjaya mengalahkan Crazy Raccoon dengan 14-12.

Perlawanan ketiga dan terakhir bagi kumpulan D ialah antara Sentinels dan F4Q yang berkesudahan dengan keputusan 2-1.

Perlawanan pertama di Breeze, menyaksikan Sentinels mempamerkan dominasi mereka dengan mengawal permainan dengan cukup kemas dengan TenZ menjadi MVP dengan KDA 24/7/4. Perlawanan ini berakhir dengan 13-3.

Namun, keadaan agak goyah bagi Sentinels di peta Split. Separuh masa pertama mereka dapat mengawal permainan dengan 7-5 sebelum tewas sebagai Attacker di separuh masa kedua dan berkesudahan dengan 9-13. 

Haven menjadi penentu sama ada Sentinels atau F4Q yang mara ke Playoffs. Mungkin mereka menyedari kekurangan prestasi mereka di Split, mereka kembali mematikan impian F4Q di separuh masa petama dengan 10-2. Di separuh masa kedua, ia berkesudahan dengan keputusan 13-4.

Perlawanan berikutnya di VCT Master Berlin ialah perlawanan Playoffs di antara Gambit menentang Vision Strikers pada jam 7.00 malam waktu Malaysia. 

Untuk jadual penuh sila  layari VALORANTEsports.com.

Sumber: Dot Esports

RELATED NEWS

+