Bosskurr Cup: “Todak Tarik Diri Untuk Fokus Pada MPL Musim Kelima,” – Ashi

Piala Amal Bosskurr (Bosskurr Cup) adalah satu acara mengumpulkan 9 pasukan bernaung di bawah organisasi Team Bosskurr dan 7 pasukan jemputan bertanding selama sembilan minggu pada hari Rabu dan Khamis.

Menurut laporan WTM Today, penganjur kejohanan ini, DaddyHood (Team Bosskurr) mengatakan Todak menarik diri atas sebab ingin fokus pada Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia & Singapura Musim Kelima.

Slot itu kemudiannya digantikan dengan Sabah Top Player (STOP).

Pengurus Todak, Mohd Syazlan Mohd Rosdi atau Ashi mengatakan ia bukan sekadar fokus kepada MPL tapi lebih daripada itu.

“Kami (Todak) terima jemputan awal dari Bosskurr sebab pada awalnya kami memang nak sertai dan secara tak langsung menyokong inisiatif ini (piala amal).

“Bila dah beberapa lama berlangsung, baru sedar masa tak menyebelahi dengan latihan harian dan acara lain yang kami perlu terlibat. Mereka (pemain) sebenarnya agak letih.

“Ini belum termasuk faktor seperti ada pasukan (dari MPL) yang memerhati dan kaji gaya permainan kami di Piala Amal tersebut,” jelas Ashi.

Ashi menambah, mereka tidak mahu mempamerkan prestasi kurang memuaskan dan gaya permainan sambil lewa kepada penonton.

“Kami menghormati Daddy dan acara yang dijalankan tapi kami juga pada masa sama tak ingin memberikan persembahan sambil lewa (atas faktor fokus pada MPL) kepada penonton.

“Keputusan ini diterima dan dibincangkan dengan baik jadi tak ada masalah yang timbul.

“Mungkin ada salah dan silap yang kami lakukan atas penarikan diri ini. Jadi kami memohon maaf kepada semua pihak dan berharap semua dapat memahami apa yang kami jelaskan disini,” tambah Ashi.

Bosskurr Cup mengumpulkan RM15,000 sumbangan yang akan disalurkan kepada badan kebajikan.

Musim liga MPL akan bermula pada 29 Februari ini menampilkan enam pasukan tanah air dan empat pasukan Kota Singa merebut hadiah terkumpul RM410,000.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.

Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+