Ghost of Tsushima: Legends – kemaskini multi-pemain percuma diumumkan

Sucker Punch telah mengumumkan kemaskini percuma untuk Ghost of Tsushima bertajuk Ghost of Tsushima: Legends. Ia akan dilancarkan secara percuma buat semua pemilik Ghost of Tsushima pada penghujung tahun ini.

Menurut penulisan di PlayStation Blog, kemaskini ini akan memperkenalkan sebuah mod permainan multi-pemain baharu. Pemain boleh bermain dengan dua hingga tiga orang rakan-rakan melalui matchmaking dalam talian.

Setiap pemain boleh memilih salah satu daripada empat kelas berbeza iaitu Samurai, Hunter, Ronin, dan Assassin. Butiran mengenai kelebihan setiap kelas akan didedahkan pada masa depan.

Terdapat dua jenis misi yang boleh dilakukan iaitu Story dan Survival. Story hanya memerlukan dua orang pemain manakala Survival memerlukan empat orang pemain.

Misi-misi Story menggabungkan unsur-unsur permainan yang terdapat dalam Ghost of Tsushima bersama unsur sihir. Para pemain harus bekerjasama dengan baik untuk menggunakan unsur-unsur sihir tersebut.

Dalam misi Survival pula, para pemain akan bertarung dengan gelombang-gelombang musuh yang kuat termasuklah musuh baharu iaitu raksasa Oni yang mempunyai kuasa luar biasa.

Tidak lama selepas pelancaran Ghost of Tsushima: Legends, Sucker Punch Productions akan melancarkan misi Raid. Mereka belum berkongsi maklumat tentang Raid tetapi ia dikatakan sebagai mod permainan yang sangat mencabar.

Ini merupakan pengumuman yang sangat menarik kerana hampir tiada orang sangka bahawa permainan single-player seperti Ghost of Tsushima akan mempunyai mod permainan multi-pemain.

Penulis yakin mereka yang mempunyai ramai rakan-rakan yang telah membeli Ghost of Tsushima tidak sabar untuk cuba Ghost of Tsushima: Legends apabila ia tiba di PlayStation 4 (PS4).

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+