Atlet e-sukan di platform PC luah pendapat dan cadangan untuk kerajaan bantu tingkatkan industri e-sukan

MANILA, Filipina – Arena e-sukan bahagian platform PC di Malaysia seringkali menghapi cabarannya yang tersendiri seperti kurangnya kejohanan dan jumlah pemain yang tidak ramai berbanding di platform mudah alih.

Ini seterusnya membuatkan industri e-sukan di negara kita sukar untuk mendapatkan pemain berkualiti dan berdaya saing apabila menyertai kejohanan di luar negara.

Bagi jurulatih dan penganalisis Todak VALORANT, Muhammad Danial Haiqal berkata, kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam menaikkan industri ini bersama komuniti.

“Peruntukan untuk mengadakan kejohanan seperti Liga E-Sukan Malaysia (MEL) dan liga eMAS adalah inisiatif bagus.

“Cuma selain suntikan dana, perlu ada inisiatif membangunkan pasukan di setiap negeri sekali gus mewujudkan lebih banyak pasukan dalam arena VALORANT yang menjadikan persaingan lebih sihat.

Bagi pemain pasukan MAG Dota 2, Chan “Lonely Chucky” Kok Khin, dia mencadangkan kerajaan sepatutnya fokus apa yang berlaku di peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh, Dota 2 adalah salah satu e-sukan yang kerap dimainkan dalam temasya. 

“Jadi kalau MLBB di Olimpik pun misalnya, kerajaan patut memfokuskan MLBB.

“Jadi kita perlu tengok bagaimana fokus e-sukan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Lain pula bagi rakan sepasukannya, Loyd Yoong “LOyd” Binjie yang berpendapat kerajaan patut menggunakan dana untuk menarik pemain Malaysia yang bermain di peringkat antarabangsa untuk kembali di Malaysia bagi mempersiapkan diri menghadapi temasya contohnya Olimpik dan Sukan Asia.

“NothingtoSay dan xNova contohnya, mereka ada peluang untuk dapatkan pingat emas kerana mereka bagus.

“Cumanya mereka tiada peluang bertanding dalam pasukan Malaysia kerana dibayar gaji lebih tinggi bersama pasukan luar seperti China.

“Saya rasa Malaysia mempunyai pemain Dota 2 yang hebat sepanjag zaman jadi mereka perlu bermain bersama di bawah satu pasukan untuk bersiap sedia hadapi kejohanan besar,” katanya yang mengharapkan Malaysia membariskan pemain ‘superstar’ Dota 2 untuk menghadapi kejohanan ternama.

Dalam kejohanan Predator League Asia Pasifik 2024 yang disertai, Todak VALORANT dan MAG Dota 2 tidak berjaya mara ke semi final selepas terkandas di peringkat kumpulan.

Kejohanan itu menyediakan AS$200,000 hadiah wang tunai terkumpul dan trofi Predator Shield kepada pemenang. Edisi keenam akan diadakan di Malaysia buat pertama kalinya.

RELATED NEWS

+