Mobile Legends: “Kita Sebagai Ibu Bapa Sokong, Kena Faham Hala Tuju Dia,” – Puan Zarita

“Sebagai ibu bapa, kita kena faham hala tuju anak dan bagi sokongan kepada mereka,” itu kata ringkas Puan Zarita Ahmad Baharum, ibu kepada Ahmad Irsyad Ahmad Azuarrul Saini, 17, yang baru saja memenangi kejohanan Mobile Legends: Bang Bang di pertandingan Super Red Festival berlangsung di Quill City Mall, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Irsyad atau lebih dikenali sebagai S… muncul juara kejohanan itu, memenangi RM2,500 berserta trofi bersama ahli pasukannya, Red Revolution yang dianggotai oleh Adam Aiman (byby), Hanis Adlan Adnan (Haru), Mohamad Alham Zuhri Zamri (Epal), Irsyad Amir Ilham (Fufu) dan Ashif Halaj Abdul Majid (Ash).

Puan Zarita bersama suaminya, Azuarrul hadir ke pusat membeli belah itu bagi memberikan sokongan penuh kepada Irsyad sepanjang hari ini. 

“Ini kali pertama saya hadir untuk menyaksikan dia bermain di tempat terbuka.

“Bagi saya, e-sukan ini sama saja seperti sukan cuma persediaan dan cara permainannya berbeza,” katanya.

Bagi Puan Zarita, dia sebagai ibu amat positif dan menunjukkan sokongan kepada karier anaknya.

“Kita tak mahu dia rasa benda ni tak bagus tapi semua sukan (termasuk e-sukan) bagus, cuma bagaimana kita membentuk perspektif mengenainya.

“Dia pun berlatih malam. Kadang-kadang bila balik sekolah penat, jadi petang dia tidur.

“Ada masa sesuai dia akan ulangkaji dan belajar,” katanya.

Dia juga berpendapat setiap anak muda sekarang mempunyai pelbagai pilihan untuk kerjaya bukan saja dengan menjadi doktor atau memilih karier profesional lain.

Kejohanan Super Red Festival dianjurkan oleh Quill City Mall dan dianjurkan bersama oleh Flash Vision. Ia mengumpulkan 40 pasukan MLBB merebut hadiah terkumpul RM8,000.

Di tempat kedua dimenangi oleh Sterk Gaming yang membawa pulang RM1,500 dan 1000 diamonds, diikuti oleh tempat ketiga dan keempat, Red Esports & Purge Squad (RM500 & 500 diamonds).

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+