Tema zombi memang sentiasa tak lapuk dek zaman kerana zombi selalu muncul dalam pelbagai jenis media seperti buku, filem, lagu dan termasuk game."> Tema zombi memang sentiasa tak lapuk dek zaman kerana zombi selalu muncul dalam pelbagai jenis media seperti buku, filem, lagu dan termasuk game." /> Tema zombi memang sentiasa tak lapuk dek zaman kerana zombi selalu muncul dalam pelbagai jenis media seperti buku, filem, lagu dan termasuk game." />

Review: Days Gone – Apabila Bikers Teruskan Hidup Dalam Dunia Penuh Zombi

Tema zombi memang sentiasa tak lapuk dek zaman kerana zombi selalu muncul dalam pelbagai jenis media seperti buku, filem, lagu dan termasuk game.

Penggunaan tema pasca apokalips dan zombi terus meraih populariti serta memenangi pelbagai anugerah ‘Game of The Year’ seperti siri Resident Evil, The Walking Dead dan The Last of Us. Kini, tiba pula giliran Bend Studio untuk menghasilkan sebuah game pasca apokalips dari perspektif seorang biker yang penuh sejarah hitam dipanggil sebagai Days Gone.

Oleh kerana Days Gone ini adalah game ekslusif PlayStation, dapatkah Days Gone mengagumkan semua pemain seperti apa yang telah Naughty Dog lakukan dengan The Last of Us atau sebaliknya? Jom baca review kami!

Jelajah dunia pasca apokalips dari perspektif seorang biker

Cuaca Days Gone berubah dinamik dan mempengaruhi tingkah laku Freaker

Dalam Days Gone, korang akan bermain sebagai seorang bekas askar, Deacon St. John yang menyertai kelab motosikal Mongrel sebelum pandemik zombi yang dikenali sebagai Freaker dalam game merebak ke tempat tinggalnya di Oregon, Amerika Syarikat. Deacon antara yang terselamat terus melangsungkan hidup meskipun kehilangan isteri tersayang, Sarah.

Dua tahun selepas daripada insiden itu, Deacon masih lagi menetap di Oregon bersama kawan baiknya, William Grey atau mesra dipanggil sebagai Boozer. Walaubagaimanapun, Deacon masih lagi rindu akan isterinya dan susah untuk meninggalkan masa silam meskipun telah dinasihati oleh Boozer.

Mereka berdua bergerak bagaikan isi dan kuku untuk terus bertahan hidup dalam dunia yang berpecah-belah kerana zombi. Mereka perlu berhadapan dengan kumpulan Ripper iaitu manusia yang mempercayai kepada Freaker dan serangan puak-puak lain.

Dunia open-world zombi dikitar semula

Alamak, zombi beruang

Days Gone banyak menggabungkan elemen pelbagai game lain seperti pengembaraan luas daripada Horizon Zero Dawn, combat mengikut The Last of Us, penjelajahan seperti siri Tomb Raider dan penaiktarafan motosikal seakan penjagaan kuda dalam Red Dead Redemption 2. Sayang sekali, gabungan kepelbagaian game ini melahirkan permainan yang berulang-ulang dan generik.

Dalam game ini, korang akan bertugas sebagai bounty hunter bebas mengutip ganjaran diambil daripada tiga ketua kem berbeza, menyelamatkan orang daripada serangan zombi atau penganaiyaan Ripper dan puak lain serta mengejar pihak berkuasa dipanggil sebagai NERO yang melakukan kaji selidik rahsia terhadap Freaker.

Korang perlu sentiasa rajin untuk buka peta dunia dan punggah segala rumah kosong serta kereta terbiar untuk kumpul barangan kraf, alat ganti motosikal, minyak dan peluru kerana kegagalan berbuat demikian boleh melumpuhkan risiko kelangsungan hidup.

Motosikal Deacon merupakan aspek paling penting dalam game ini untuk memudahkan dia bergerak dalam dunia open-world luas. Terdapat dua penjagaan perlu dilakukan secara rapi oleh pemain iaitu minyak dan enjin. Tangki minyak mesti sentiasa diisi dan enjin pula dilindungi daripada kerosakan sama ada daripada serangan musuh mahupun pelanggaran objek besar di jalan raya.

Untuk tingkatkan kuasa motor, korang boleh ubahsuai enjin motor, ekzos untuk kurangkan bunyi dan kapasiti tangki minyak dengan berjumpa mekanik di kem. Korang perlulah berbuat baik dan rajin menjalankan misi untuk kem bagi mendapatkan penaiktarafan tinggi untuk motosikal korang.

Deacon boleh serang musuh dari jarak dekat menggunakan pisau kecil yang tidak akan pecah tapi tidak begitu kuat. Selain itu, korang boleh serang menggunakan papan 2×4 atau batang besbol yang boleh dikraf menjadi lebih kuat tetapi penggunaan terlalu kerap boleh pecahkan papan itu.

Untuk serangan jarak jauh, korang hanya boleh bawa tiga jenis senjata iaitu pistol dan senapang serta senjata khas seperti mesingan atau senapang rifle. Tambahan pula, game ini terdapat mod fokus iaitu memberhentikan masa buat seketika waktu supaya korang boleh bidik terlebih dahulu.

Zombi dalam Days Gone mempamerkan kelainan tersendiri dari bentuk kecil dan gergasi. Korang akan selalu tengok Freaker yang selalu bergerak secara segerombolan dipanggil sebagai Swarmer kelihatan tinggal di gua dan tasik besar. Swarmer boleh terpisah dari gerombolan mereka dan lebih mudah untuk dikalahkan berbanding mengalahkan satu gerombolan gergasi bagaikan tsunami melanda pemain.

Virus zombi bukan sahaja mempunyai kesan terhadap manusia malah ia menjangkiti haiwan juga seperti beruang kebal, serigala berupaya mengejar motosikal Deacon dan burung gagak serang secara berkumpulan seperti Swarmer.

Diselubungi dengan pelbagai masalah

Sarang Freaker yang harus dibasmi

Kelemahan utama Days Gone ini adalah ketidakstabilan luar biasa untuk game PS4 kerana saya selalu dapat bug aneh sepanjang saya main game ini sehingga saya terpaksa restart semula Days Gone. Contohnya, sarang zombi perlu dibakar tidak wujud di tempat walaupun lokasi muncul dalam peta, klu-klu sepatutnya dicari jadi hilang begitu sahaja dan tong minyak tenggelam dalam lori.

Selain itu, tulisan sari kata dan butang interaktif seperti butang isi minyak dan butang respons pantas dalam game juga teramat kecil dan ia mengganggu permainan saya. Korang juga mengalami kesukaran untuk bidik (aim) kerana titik tumpu kecil dan tidak jelas.

Kadang-kala, saya tidak sedar pun ada musuh atau zombi datang serang kerana Days Gone tidak memberikan satu petanda amaran menandakan musuh yang berdekatan dengan korang. Korang boleh berpandukan kepada peta tetapi ia terlalu samar-samar dan tidak terperinci.

Dari segi penceritaan pula, penceritaan utama dipecahkan kepada beberapa bahagian besar yang bersangkut-paut antara satu sama lain dan aliran game ini agak perlahan kerana konsep open-world bebas dipilih oleh pemain.

Walaupun grafik Days Gone memukau, terdapat beberapa sinematik yang tidak disunting secara elegan dan tidak berasa begitu lancar. Ekspresi muka karakter selain protagonis utama juga tidak begitu responsif dan kelihatan keras seperti zombi. 

Akhir kata, Days Gone merupakan game yang menerapkan ciri-ciri daripada pelbagai game popular untuk memberikan pengalaman pengembaraan luas Deacon St. John merentasi Oregon yang generik disulami dengan penceritaan yang boleh diramal sambil dilanda dengan bug yang menjengkelkan.

Days Gone bakal dilancarkan eksklusif di PS4 pada 26 April 2019.

Terima kasih kepada PlayStation Asia atas kod permainan.

RELATED NEWS

+