[Review] OPPO A93 – skrin cantik tapi tiada kadar segar semula tinggi

Follow kami di WhatsApp , Instagram, and TikTok MyGameOn, jadi antara yang terpantas untuk dapatkan berita e-sukan, gaming dan anime!

Unit ulasan disediakan oleh OPPO Malaysia.

Model terbaru dalam barisan produk siri “A” daripada OPPO iaitu OPPO A93 kini telah tiba di Malaysia. Seperti telefon pintar lain dalam siri “A”, OPPO A93 diiklankan sebagai telefon pintar serba boleh dan tidak memberi fokus berat terhadap kualiti kamera seperti siri Reno daripad OPPO.

Daripada pandangan pertama, telefon pintar ini memang nampak ibarat sebuah pakej lengkap yang bersesuaian dengan tanda harganya iaitu RM1,299. Ia mempunyai skrin Super AMOLED, 8GB RAM, empat kamera belakang serta dua kamera depan.

Jelas sekali telefon ini ditujukan kepada pengguna bajet pertengahan di mana ia bersaing dengan telefon pintar popular lain seperti Samsung A51 dan Poco X3. Adakah OPPO mampu menewaskan saingannya dengan OPPO A93, terutamanya dari segi kebolehan untuk gaming?

Itulah persoalan yang akan dijawab dalam ulasan ini!

 

Cukup berkuasa untuk kebanyakan permainan dalam talian

Untuk permainan-permainan mudah alih yang popular di Malaysia seperti Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile, dan Call of Duty: Mobile (CODM), OPPO A93 langsung tidak menghadapi apa-apa masalah dari segi kelancaran permainan.

Ia boleh menampung ketiga-tiga permainan di atas pada tetapan grafik gabungan medium dan high. Contohnya, telefon ini boleh bermain pada tetapan HD dan kadar bingkai tinggi dalam PUBG Mobile. Ia juga boleh main MLBB pada tetapan grafik tertinggi.

Satu ciri hebat fon ini ialah penulis langsung tidak merasakan kepanasan apabila bermain apa-apa permainan, walaupun bermain selama sekitar tiga hingga empat jam. RAM berjumlah 8GB juga membolehkan penukaran antara permainan dan aplikasi dapat dilakukan dengan lancar.

 

Tidak (atau belum) sesuai untuk pemain Genshin Impact

Salah satu permainan mudah alih yang kini menjadi kegilaan ramai pemain di Malaysia ialah Genshin Impact. Oleh itu, penulis juga mencuba permainan tersebut di peranti ini dan malangnya, ia tidak menujukkan prestasi yang bagus.

Nampaknya Genshin Impact masih belum disesuaikan (optimised) untuk OPPO A93. Apabila bermain permainan ini di OPPO A93, banyak ciri grafik seperti texture tanah, pokok, dan wajah watak-watak tidak muncul.

Penulis telah membuang dan memuat turun semula permainan ini dan masalah ini tetap ada. Menurut pencarian Google penulis, masalah ini juga dihadapi oleh pengguna-pengguna peranti lain seperti iPhone 6s dan iPad.

Pada waktu ini, penulis tidak boleh mencadangkan OPPO A93 kepada mereka yang ingin bermain Genshin Impact. Kita perlu tunggu miHoYo keluarkan patch untuk memperbaiki masalah ini.

 

Boleh hadam Asphalt 9

Para pembaca MyGameOn sudah tahu bahawa penulis sentiasa akan menggunakan Asphalt 9 sebagai salah satu permainan untuk menguji kuasa grafik sesebuah telefon pintar dan ia tetap digunakan untuk menguji OPPO A93.

Pendek kata, Asphalt 9 boleh dimain dengan lancar di OPPO A93. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa ketika di mana permainan ini akan beku selama satu saat tetapi perkara ini tidak berlaku dengan begitu kerap.

Ini adalah perkara yang biasa untuk kebanyakan telefon pintar yang dijual dalam ruang harga pertengahan. Ia juga membuktikan OPPO A93 boleh main kebanyakan permainan luar talian yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

 

Tak perlu risau tentang bateri

Sama seperti telefon pintar OPPO Ren 4 Pro yang jauh lebih mahal (RM2,399), OPPO A93 mempunyai kapasiti bateri 4,000 mAh. Kapasiti sebegini lebih daripada cukup untuk pengalaman permainan yang memuaskan.

Bateri telefon ini juga datang bersama teknologi pengecasan pantas 18W yang mampu mengecasnya dari 1% hingga 100% dalam tempoh sekitar 1 jam 15 minit.

Bagi anda yang masih menggunakan fon telinga berwayar seperti penulis, jangan risau. OPPO A93 masih belum tewas dengan trend penghapusan bicu 3.5mm. Selain itu, telefon ini hanya mempunyai satu pembesar suara di bahagian bawah tetapi ia agak memuaskan.

Dari segi pengalaman tontonan kandungan di YouTube dan Netflix, pembesar suara OPPO A93 berbunyi sedikit pecah di tetapan tertinggi. Oleh itu, ia lebih sesuai ditetapkan pada kadar 80%. Paparan Super AMOLED dengan resolusi 1080p juga harus dipuji kerana ia memaparkan kualiti imej dan warna yang baik.

 

Sekadar sesuai, tiada kelebihan jelas

OPPO A93 boleh dikatakan sebagai telefon pintar yang “selamat”. Ia tidak mempunyai apa-apa kelemahan yang ketara tetapi ia juga tidak mempunyai apa-apa kekuatan yang mampu menjadikannya pilihan utama untuk peminat permainan mudah alih.

Kualiti kamera belakang dan depan telefon pintar ini tidak begitu mengagumkan dan ia tidak mempunyai tetapan kadar segar semula skrin untuk 90Hz atau lebih tinggi. Kekurangan-kekurangan ini membuatkan penulis sukar untuk mencadangkan telefon pintar ini.

Jika anda sudah pun membeli telefon ini, tidak perlu mengeluh. Ia tetap merupakan satu pilihan yang bagus pada tanda harga tersebut.

Untuk membeli OPPO A93, anda boleh melayari laman web rasmi OPPO atau laman-laman rasmi Shopee dan Lazada jenama tersebut.

 

Kekuatan:

  • Paparan Super AMOLED 1080p yang cantik dan cerah
  • Bateri tahan lama
  • Pengalaman permainan yang lancar dan memuaskan

Kelemahan:

  • Tiada tetapan kadar segar semula tinggi
  • Kualiti kamera biasa-biasa sahaja

RELATED NEWS

+