Sukan Asia 2018: Pasukan PES 2018 Malaysia Pamer Aksi Cemerlang, Berentap Iran Dan Jepun Di Pentas Esports

Pasukan Malaysia yang diwakili oleh Mohamad Norhaikal Mohamad Noh “Haikal” dan Muhamad Khairul Abdul Aziz “Keron” membawa pulang tempat keempat di demonstrasi kejohanan esports pertama Sukan Asia 2018 selepas kalah kepada Vietnam dengan skor akhir 2-1.

Mengatur strategi bersama rakan-rakan seperjuangan

Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bermula dengan ngauman kuat apabila mereka berjaya membelasah kedua-dua pasukan Hong Kong dan Kazakhstan dengan skor 2-0. Walaubagaimanapun, kekalahan Malaysia di tangan Iran meletakkan Malaysia ke kedudukan lower bracket lalu mereka berdepan dengan pasukan Jepun dari kumpulan B.

Dalam perlawanan sengit antara Malaysia dan Jepun di separuh akhir, sayang sekali Malaysia kecundang kepada negara Matahari Terbit dan melayakkan Malaysia untuk berdepan Vietnam bagi merebut pingat gangsa.

Perlawanan tempat ketiga dibuka dengan permainan perseorangan terlebih dahulu. Haikal yang memilih pasukan Barcelona berjaya menyumbat gol sebaik sahaja perlawanan dimulakan. Namun, permainan konsisten oleh Do Thai Thien Phuc dari Vietnam dengan pilihan pasukan Arsenal menjaringkan dua gol di separuh akhir pertama sekaligus menjadikan Vietnam mendahului Malaysia dengan 2-1.

Saat-saat cemas dihadapi oleh Haikal berdepan Do Phuc semasa berlawan secara solo di pusingan pertama Malaysia dan Vietnam

Pusingan pertama perseorangan separuh kedua memperlihatkan permainan rentak perlahan dari kedua-dua wakil negara Asia. Ketika inilah wakil Malaysia berjaya menjaringkan 1 gol, lalu menyamakan kedudukan Malaysia dan Vietnam 2-2 pada minit ke-76. Tak lama kemudian, Vietnam menang pusingan pertama perlawanan tempat ketiga dengan menjaringkan 2 gol dan Vietnam maju ke hadapan Malaysia dengan skor 4-2.

Set kedua membawa masuk kedua-dua wakil Malaysia dan Vietnam dalam mod co-op. Bangkit dari kekalahan pusingan pertama, Malaysia terus menerkam gol lawan pada minit ke-8. Namun, Vietnam berjaya menjaringkan satu gol dan menyamakan kedudukan 1-1 di lewat pusingan kedua lalu membawa Malaysia dan Vietnam ke masa tambahan.

Dalam masa tambahan set kedua, keserasian Haikal dan Keron terserlah indah apabila mereka berjaya memenangi set kedua bagi perlawanan tempat ketiga dan skor seri membawa dua pasukan ke set ketiga untuk menentukan pemenang pingat gangsa.

Malaysia menang di set kedua, melayakkan Keron bertemu kembali 1v1 dengan lawannya semasa di PES SEA Finals, Le Tam di set ketiga.

Set ketiga membawa sedikit kelainan dalam perlawanan secara perseorangan antara Malaysia dan Vietnam dari segi penggunaan pasukan. Keron memilih untuk gunakan pasukan Inter manakala pemain Vietnam, Le Doan Thamh Tam menggunakan pasukan Liverpool pula.

Dalam set ketiga, Vietnam terus mara ke hadapan dengan menjaringkan dua gol. Tanpa kehadiran gol oleh Keron, Malaysia harus tunduk kekalahan kepada Vietnam dengan skor akhir 2-0 di set ketiga.

Keputusan keseluruhan demonstrasi kejohanan PES 2018 menyaksikan negara Jepun menjuarai pentas esports Asian Games 2018 buat kali pertama dan meletakkan Iran membawa pulang pingat perak serta seterusnya Vietnam pula merangkul pingat gangsa.

Nota editor: Tak kira apa pun warna pingat, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Haikal dan Keron sebagai satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya membawa semangat Jalur Gemilang di pentas demonstrasi esports pertama Sukan Asia. Moga-moga usaha korang akan melahirkan lagi ramai bakat untuk ke pentas esports Sukan Asia seterusnya.

RELATED NEWS

+