To-Gather Island: Sebuah Game Survival Buatan Malaysia Ala Minecraft Dibangunkan Oleh Studio Kamii

Apabila kita bercakap tentang game ‘survival’, tentu korang terbayang atmosfera mencabar yang mana korang kena lakukan apa jua untuk melangsungkan hidup seperti menyelam ke dasar laut dalam Subnautica dan terserempak dengan puak kanibal di hutan dalam The Forest. Permainan survival juga membolehkan pemain untuk membina dan mengubahsuai apa jua benda ikut citarasa sendiri seperti dalam Minecraft.

To-Gather Island mengambil konsep sama yang disuntik dengan gaya tersendiri oleh studio tempatan, Studio Kamii. Game ini adalah sebuah game survival action adventure yang mengajak korang untuk menggunakan pelbagai kaedah seperti berburu, bertukang untuk terus berdikari di tempat-tempat yang tidak pernah dijejaki manusia. 

To-Gather Island mempunyai lipatan sejarah lama sebelum terbentuknya Studio Kamii tetapi setelah game ini berjaya memenangi pertandingan Intellectual Property Creator’s Challenge (IPCC) pada sekitar tahun 2016, kejayaan cemerlang ini menggerakkan mereka untuk membangunkan game dalam platform mobile.

Berbeza daripada versi mobile yang mempunyai rekaan 2D, versi PC pula dipertingkatkan dengan visual 3D dan diperluaskan lagi untuk jalan cerita bersama golem, sistem combat, kepelbagaian persekitaran, kombinasi crafting lebih banyak, pengubahsuaian karakter (character customization) dan banyak lagi.

Apa itu To-Gather Island?

 

Dalam game ini, korang akan bermain sebagai seorang penyelidik yang terpisah oleh rakan-rakan penyelidik lain di pulau tidak pernah dijejaki. Korang perlu hidup dalam persekitaran baru yang kaya dengan diversiti flora dan fauna tetapi misteri menyelumbungi pulau ini dengan kebangkitan raksasa aneh lalu korang harus melangsungkan hidup untuk berjumpa kembali dengan rakan sekerja dan membongkar rahsia di sebalik pulau-pulau ini.

Pengarah game dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Studio Kamii, Hanis Rahim mahu mengambil pendekatan berbeza survival dengan gaya mereka tersendiri iaitu lebih santai iaitu menyuntik tema sains fantasi serta menampilkan keindahan dan keanehan alam dalam ToGather Island.

Antara aktiviti pemain boleh lakukan adalah kaji selidik semua pokok dan kayu serta batu-batuan untuk kraf alatan lebih bagus, bercucuk tanam, membina tempat teduhan sendiri dan memburu haiwan bagi memastikan karakter utama dalam keadaan baik supaya tidak mati kelaparan, kehausan atau kesejukan. Di samping itu, karakter utama korang adalah seorang ‘conjurer’ yang bermakna korang boleh menyeru golem untuk berada di sisi korang.

Apa yang menarik tentang To-Gather Island?

Crafting dan building amat penting dalam To-Gather Island. Setakat ini, demo hanya memberikan sebanyak 20 kombinasi terdiri daripada makanan, senjata dan sebagainya. Untuk update akan datang, Hanis berkata mereka akan membawakan lebih daripada 200 formula kraf.

Walaupun demo ini hanya menunjukkan gameplay asas seperti membina, memburu dan menukang tanpa naratif lengkap, Hanis mengolah jalan cerita To-Gather Island seperti plot The Maze Runner. Dia menjelaskan, “Untuk versi game penuh nanti, setiap pulau yang kami bangunkan ini akan ada struktur bangunan atau peninggalan pelik-pelik untuk korang terokai. Pulau-pulau ini juga akan dipisah-pisahkan dan tidak bersambung antara satu sama lain.”

“Selepas korang selesaikan misi di pulau berkenaan, pemain boleh bergerak ke pulau lain dan bebas untuk kembali ke pulau itu. Setiap pulau mempunyai cabaran yang dihadapi dan masalah perlu diselesaikan oleh pemain. Setiap pulau juga terdiri dari tiga persekitaran iaitu dipanggil sebagai ‘biome’. Contohnya pulau itu susah cari air, jadi korang boleh pergi kembali ke pulau yang ada banyak air dan sediakan bekalan air untuk dibawakan ke destinasi lain,” tambah Hanis. 

Konsep asal golem versi besar di samping pemain

Lebih menarik lagi, golem yang bergerak di samping pemain bukan sekadar hiasan sahaja. Hanis memberitahu kepada MyGameOn bahawa golem itu juga ‘bernyawa’ dan ‘berkembang’ sepanjang permainan, malahan korang mengubahsuai senjata dan perisai untuknya, perlu baiki komponen badannya serta dijaga makan dan minum kerana golem ditugaskan untuk melindungi korang. Golem juga berfungsi sebagai tempat penyimpanan (storage) dan sebuah tapak (base) memudahkan pemain untuk melompat dari satu pulau ke pulau lain. 

Game ini juga mempunyai sistem pertukaran malam dan siang. Semasa di siang hari, ia memberi laluan kepada pemain untuk memburu dan mencari makanan sebagai persediaan menjelang malam. Di saat malam pula, pemain berhadapan dengan raksasa atau entiti pelik yang akan menyerang korang tetapi bergantung kepada pulau korang lawati. Hanis bersama 9 ahli pasukan sedang bekerja untuk bangunkan sistem combat lebih optimum seperti mempertingkatkan kecekapan AI raksasa dan mungkin menambah level scaling iaitu raksasa jadi sama kuat dengan pemain.

Bila To-Gather Island akan keluar?

Siasat dan kaji selidik bahan-bahan di sekeliling pemain

Studio Kamii baru melancarkan sebuah demo pre-alpha pada Disember lepas kepada orang ramai buat pertama kali pada Disember tahun lepas. Buat masa sekarang, demo ini berfungsi sebagai satu tutorial untuk pemain baru. “Kami mempunyai dasar keterbukaan (transparent) kepada pemain dan sebab kenapa kami mengeluarkan demo ini adalah untuk mengumpul maklumbalas tentang apa yang perlu dibaiki atau ditambah masuk ke dalam game ini,” jelas Hanis.

Secara asalnya, Hanis menyasarkan game ini untuk golongan pemain dewasa tetapi ia juga mendapat perhatian kanak-kanak juga setelah mempamerkan game ini di pelbagai persidangan game seluruh dunia seperti Tokyo Game Show, Comic Fiesta dan banyak lagi. “Saya tidak menyangka ramai kanak-kanak yang menyukai To-Gather Island sebab saya mahu buat game yang tidak mendatangkan stres kerana kebanyakkan game genre survival saya main semuanya agak ganas dan seram,” kata Hanis.

CEO Studio Kamii dan pengarah game To-Gather Island, Hanis Rahim

Melihat kepada sambutan meriah daripada komuniti gaming seluruh dunia, mereka kini sedang membangunkan mod co-op atau multiplayer yang boleh memuatkan seramai 4 pemain dalam satu masa dan diacah dalam video ini. Menurut Hanis, tujuan besar untuk memasukkan mod co-op adalah kerana To-Gather Island dirancang untuk keluar di Nintendo Switch.

To-Gather Island dijangka akan lancar melalui Steam Early Access (PC) pada Q1 (Januari – Mac) 2019. Untuk versi konsol pula, tiada lagi tarikh rasmi diumumkan. Bagi korang tak sabar untuk mencuba game survival comel ini, korang boleh main demo To-Gather Island dulu dengan melayari laman sesawang itch.io. 

Untuk tahu lebih banyak info tentang To-Gather Island, ikuti laman Facebook rasmi Studio Kamii di sini

Jangan lupa ikuti kami di Facebook dan saksikan video di YouTube.

Kredit gambar dari Studio Kamii dan GIF dibikin oleh penulis sendiri.

RELATED NEWS

+