Alan Wake Akhirnya Kembali Di PC Selepas Gagal Membayar Lesen Muzik Dalam Game

Setelah ditarik keluar dari website jualan game pada bulan Mei tahun lepas seperti Steam dan sebagainya, Alan Wake akhirnya ‘dibangkitkan’ semula!

Remedy Entertainment mengumumkan kepulangan Alan Wake melalui satu tweet daripada akaun Twitter rasmi mereka.

Sebelum ini, Alan Wake terpaksa dikeluarkan daripada Steam kerana kegagalan untuk menyambung lesen penggunaan runut lagu dalam game ini.

Dalam bebenang Twitter yang sama, Remedy mengucapkan terima kasih kepada Microsoft iaitu penerbit Alan Wake yang sudi menyelesaikan masalah tempoh penggunaan muzik berlesen, jadi membolehkan game ini dijual kembali.

Pembangun Alan Wake juga mengesahkan semua muzik asal dikekalkan dan tiada apa-apa perubahan langsung. Selain PC, versi Xbox 360 akan menyusul selepas ini. Menurut tweet ini, Alan Wake akan muncul semula dalam Xbox Marketplace tidak lama lagi.

Alan Wake merupakan game action-adventure sarat dengan naratif seram psikologi dibangunkan oleh Remedy Entertainment pada tahun 2010 untuk PC dan Xbox 360.

Game ini memfokuskan penulis novel thriller, Alan Wake pergi bercuti bersama isteri tersayang, Alice di sebuah pekan dikenali sebagai Bright Falls untuk mengubati ‘writer’s block‘. Namun, percutian bertukar menjadi mimpi ngeri apabila isterinya tiba-tiba hilang di sekitar tasik luas bersebelahan kabin yang mana didiami oleh mereka berdua.

Bagi mereka yang gemari game fokus terhadap penceritaan mendalam dan bermakna, maka Alan Wake adalah game sesuai untuk korang main! Alan Wake kini boleh didapati di Steam dengan harga diskaun sempena sambutan Halloween.

Dek kerana dorongan penceritaan seakan-akan drama televisyen, Alan Wake dilaporkan sedang dalam pembikinan siri TV dengan kerjasama Remedy.

Sumber: Eurogamer

RELATED NEWS

+