Aplikasi Nvidia Broadcast bantu streamer yang tiada skrin hijau dan mikrofon hebat

Di acara digital GeForce Special Event, Nvidia mengumumkan aplikasi Nvidia Broadcast. Ia merupakan aplikasi yang direka untuk membantu golongan streamer menjadikan siaran langsung mereka lebih interaktif.

Tiga fungsi utama yang ditunjukkan dalam siaran langsung GeForce Special Event pagi tadi adalah Noise Removal, Virtual Background, dan Auto Frame.

Penulis yakin ramai pemain PC sudah tahu tentang aplikasi RTX Voice. Nampaknya Noise Removal mempunyai fungsi yang sama seperti aplikasi tersebut. Ia akan mengasingkan suara latar belakang daripada suara streamer di mikrofon.

Dalam video di atas, Brandon Ewing, Pengurus Pemasaran Global Pengguna di Nvidia, melakukan demonstrasi Noise Removal dengan bantuan teman wanitnya yang menggunakan pengering rambut semasa beliau melakukan streaming.

Noise Removal bukan sahaja berfungsi pada pihak pengguna aplikasi tersebut. Ia juga boleh digunakan untuk mengasingkan bunyi bising daripada pemain lain.

Dalam video di atas, Brandon menunjukkan Noise Removal boleh digunakan untuk mengeluarkan bunyi menaip papan kekunci yang bising daripada pemain lain.

Virtual Background pula sesuatu yang akan menarik minat ramai streamer yang tidak mampu membeli skrin hijau atau membina studio streaming di rumah.

Menggunakan kepintaran AI, Nvidia Broadcast akan mengenal pasti streamer dan mengasingkan streamer daripada latar belakang. Ini mewujudkan pengalaman tontonan yang lebih kurang sama dengan penggunaan skrin hijau.

Pengguna boleh mengubah latar belakang menjadi video atau imej tertentu dan juga menjadikan permainan yang sedang disiarkan sebagai latar belakang.

Perkara sebegini bukan sesuatu yang baharu. Aplikasi seperti Zoom juga mampu melakukan perkara sebegini. Cuma fungsi Virtual Background dalam Nvidia Broadcast lebih sesuai untuk pemain yang mahu menggunakannya bersama aplikasi-aplikasi seperti OBS dan Streamlabs OBS.

Bagi anda yang sering terlibat dalam panggilan video untuk tujuan pekerjaan, Auto Frame akan memberi fokus terhadap muka anda dan mengikut pergerakan kepala anda.

Pada pendapat penulis, Auto Frame juga sesuai untuk streamer yang melakukan banyak pergerakan ketika bersiaran langsung. Ini memastikan muka anda tidak terkeluar dari rangka kamera.

Aplikasi Nvidia Broadcast bukan dibuat untuk mereka yang akan membeli kad grafik baharu siri RTX 3000 sahaja. Ia juga akan dilancarkan untuk penggunaan pemilik kad grafik siri RTX 2000.

Satu perkara yang patut diketahui oleh pengguna ialah Virtual Background dan Auto Frame akan dilancarkan dalam keadaan beta supaya para pengguna boleh memberi maklum balas kepada Nvidia mengenai kualiti kedua-dua fungsi tersebut.

Nvidia Broadcast akan dilancarkan pada bulan ini tetapi Nvidia masih belum memberi tarikh pelancaran tepat. Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk laman web rasmi Nvidia.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+