FIFA 19: Impunity Juara SEA Virtual Championship, Bawa Pulang Wang Tunai RM15,000

SEA Virtual Championship menobatkan pasukan tuan rumah, Impunity sebagai juara pertama bagi kejohanan FIFA 19 di rantau Asia Tenggara yang berlangsung di Pusat Konvesyen Suntec, Singapura pada 7 Oktober.

Peringkat akhir SEA Virtual Championship menyaksikan pertarungan sengit antara pasukan Impunity dari Singapura bertempur dengan pasukan duo Tuah & Fenrir dari Malaysia.

Dua pasukan terbaik yang mara ke tahap akhir pertandingan mempamerkan aksi permainan cemerlang 2v2 dalam tiga set permainan FIFA 19. Namun, gabungan dua atlit FIFA Malaysia, Amirul “AmTuah” Afandi dan Luqman “Fenrir” Haziq harus akur kepada kekalahan 0-3 kepada duo atlit FIFA Singapura, Muhammad Syakir “Kun” dan Muhamad Ashrul “Ash”.

Dari kiri: Muhammad Syakir “Kun” dan Muhamad Ashrul “Ash”, pemenang SEA Virtual Championship bersama Suki Lee, pengasas Gamesbond, Fazli Razak, pengasas bersama Gamesbond dan Liey

Pasukan Impunity berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 (SGD 5,000) dan juga memenangi headset Razer Thresher dan controller Razer Raiju.

Kejayaan juara memberi makna besar terhadap Kun dan Ash dari Kota Singa kerana ini merupakan kemenangan pertama mereka setelah sekian lama terkandas mendapat tempat kedua atau ketiga di peringkat akhir dalam kebanyakkan pertandingan.

“Saya berasa sangat gembira kerana akhirnya kami dapat menjuarai kejohanan setelah lama tidak memenangi pertandingan FIFA sebelum ini kerana saya sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk berlatih. Saya juga mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada kawan-kawan dan keluarga kami yang tidak putus-putus menyokong kami sepanjang kejohanan ini,” kata Ash.

Dari kiri: Luqman “Fenrir” Haziq, Amirul “Amtuah” Afandi memenangi tempat kedua, bergambar bersama Suki Lee, Fazli Razak dan Liey

Sementara itu, naib juara, AmTuah dan Fenrir berpuas hati dengan wang kemenangan RM6,600 (SGD 2,200) bersama controller Razer Raiju. Tempat ketiga berserta tempat keempat dimenangi oleh pasukan Prdg|Aksiz_Duo dan EvosxPrime dengan hadiah wang tunai RM4,500 (SGD1,500).

Korang boleh tonton keseluruhan perlawanan akhir di laman Facebook GamesBond di sini.

SEA Virtual Championship adalah kejohanan FIFA 19 berformatkan 2v2 dalam mod kick-off dibawakan oleh hasil kerjasama GamesBond dan Mineski Event Team (MET) sempena PvP Esports Challenge berlangsung pada 5 hingga 7 Oktober di Singapura.

Baca lanjut: FIFA 19: ‘Gameplay Lebih Realistik, Paling Best Dalam Sejarah FIFA’ – Kata Pemain Profesional

Antara peserta memeriahkan lagi SEA Virtual Championship di Pusat Konvesyen Suntec, Singapura

Seramai 125 pasukan terdiri daripada 250 peserta menyertai kejohanan SEA Virtual Championship yang berlangsung selama dua hari dan mendapat penyertaan lebih daripada empat negara di rantau Asia Tenggara sehingga turut mendapat perhatian pemain dari negara India dan Jepun.

Melihat kepada sambutan meriah kejohanan FIFA 19 pertama di Asia Tenggara, pengasas Gamesbond, Suki Lee akan meneruskan lagi usaha mereka untuk mewujudkan lagi pertandingan FIFA 19 yang sama di Hari Sukan Negara pada 13 dan 14 Oktober dan juga Selangor Cyber Games pada 27 dan 28 Oktober ini.

MyGameOn ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang SEA Virtual Championship. Arena e-sukan juga semakin berkembang di Singapura dan lebih ramai lagi pihak ingin memeriahkan lagi komuniti e-sukan di Kota Singa ini!

RELATED NEWS

+