“Ikuto menjadi inspirasi saya untuk mengulas,” – Sunfrost

Bidang pengulasan ini adalah salah satu bidang yang mencabar di dalam e-sukan. Pengulas harus memahami intipati permainan video itu serta fasih di dalam penggunaan bahasa yang diulaskan.

Di dalam arena e-sukan Mobile Legends, kita sedia maklum terdapat pengulas-pengulas veteran dan berkaliber yang seringkali menghiburkan kita dengan tenaga mereka mengulas dengan mantap.

Walau bagaimanapun, Syed Fitri “Sunfrost” Abharshah membuktikan dia mampu untuk menandingi pengulas yang lain dengan teknik ulasannya yang cukup bertenaga.

Malah, juara Junior Shoutcasting Challenge ini juga sering diberikan pujian oleh komuniti Mobile Legends yang menyifatkan dia sebagai pengulas yang terbaik sejak melakukan debut di MPL MY musim ke-9.

Kami dari pihak MyGameOn sempat menemu bual Sunfrost di EBN Esports City, Quill City Mall tempoh hari.

Ketika ditanya tentang perasaan menjadi pengulas di MPL MY buat pertama kalinya, Sunfrost menyatakan dia sangat teruja.

“Saya berasa teruja sangat teruja kerana ini memang impian saya di dalam bidang pengulasan. Rasa bersyukur dan sangat gembira juga dan akan buat yang terbaik untuk anda semua,” katanya.

Ditanya tentang adakah dia merasa gementar ketika mengulas, Sunfrost mengakui perasaan itu semestinya ada.

“Ya memang saya ada rasa gementar namun saya dapat mengatasinya dan alhamdulillah pengulasan saya makin bertambah baik di atas pentas.

“Saya bertenaga ketika mengulas kerana pertama sekali, usia saya muda lagi. Saya baru berusia 19 tahun. Keduanya, saya sendiri minat bermain Mobile Legends.

“Saya juga meletakkan diri saya ke dalam kasut pemain itu sendiri. Saya dapat merasakan apa yang pemain lain rasa. Jika mereka mendapatkan kemenangan, saya juga akan merasakan perkara yang sama,” katanya.

Ketika ditanya idolanya di dalam bidang pengulasan, Sunfrost berkata Ikuto menjadi inspirasinya.

“Idola saya atau idola umum kepada semua adalah Ikuto, saya memilih untuk mengulas disebabkan oleh dia.

“Impian saya di dalam bidang pengulasan ini adalah untuk mengulas di Sukan SEA dan juga Kejohanan Dunia M4 nanti,” akhirinya.

Foto: Sunfrost, Syed Fitri

RELATED NEWS

+