Juara TI10, Team Spirit mendedahkan matlamat pasukan untuk masa akan datang

Team Spirit adalah pasukan kuda hitam yang muncul sebagai juara di kejohanan e-sukan terbesar di dunia, The International 10 (TI10). Pencapaian itu pasti dikenali oleh ramai peminat, malah juga dikenali oleh bukan peminat e-sukan kerana ia pencapaian yang amat bermakna. Kini, pasukan Rusia itu berkongsi matlamat akan datang untuk Team Spirit.

Dalam satu temubual bersama Red Bull, beberapa ahli pasukan Team Spirit berkongsi beberapa matlamat mereka untuk masa akan datang.

Pencapaian Pertama

Pengurus pasukan Team Spirit, Ruslana Berest, berkata bahawa mengumpul ahli pasukan yang mempunyai satu hati, satu matlamat adalah pencapaian paling penting untuk pasukan itu.

Ruslana ‘DKLana’ Berest

“Pencapaian utama kami ialah kami berjaya mengumpulkan satu pasukan yang mempunyai pemikiran yang sama, yang kami sentiasa cuba untuk mengembangkan dan membangunkan pasukan,” kata Berest.

Pendapat Yatoro

Pemain utama Team Spirit, Illya Mulyarchuk, atau gelarannya Yatoro belum berpuas hati dengan kemenangan mereka di Bucharest. 

Yatoro bersama jurulatih pasukan, Silent

Dia kini berharap untuk terus memenangi kejohanan dan bersaing untuk tempat teratas di TI yang akan datang.

“Apabila anda mula bermain e-sukan secara profesional, matlamat terbesar anda adalah untuk memenangi TI. Tetapi itu tidak bermakna apabila anda menang, hidup anda sudah lengkap,” kata Yatoro tentang memenangi TI10.

“Kami mahu bermain Dota. Kami minat permainan itu. Jadi kami mahu memenangi seberapa banyak kejohanan yang kami boleh. Ia menarik untuk bersaing dan memenangi TI sekali lagi,” sambungnya lagi.

Malah TORONTOTOKYO juga bersetuju dengan Yatoro.

“Kami tidak akan berhenti di situ (menang TI10),” kata TORONTOTOKYO.

“Terdapat banyak kejohanan di masa hadapan yang kami mahu menangi untuk kekal di puncak ranking Dota,” tambahnya.

Kebimbangan Jurulatih

Walaupun Yatoro berminat untuk terus menjadi juara untuk TI akan datang, jurulatih pasukan, Airat Gaziev atau Silent, menyatakan keraguan kecil.

“Kini dalam setiap perlawanan, dalam semua kejohanan, kami mesti membuktikan bahawa kami layak untuk piala kami dan tidak merendahkan tahap kami. Ia mudah untuk mendaki ke puncak. Tetapi, ia jauh lebih sukar untuk kekal di situ.”

Collapse Tidak Percaya Sudah Menjulang Aegis

Collapse pula berkata bahawa memenangi Ti10 itu bagaikan mimpi.

“Saya fikir kita masih belum memahami sepenuhnya apa yang sudah berlaku,” kata Collapse.

“Walaupun saya sudah menjulang Aegis, sukar untuk mempercayai bahawa semuanya adalah realiti,” tambahnya.

Sumber rujukan: Red Bull

RELATED NEWS

+