“Kami sasar bawa pulang pingat di Komanwel,” – Pasukan Wanita Dota 2 Malaysia

Sukan Komanwel adalah satu acara sukan yang membabitkan banyak negara di dunia. Majoriti negara yang mengambil bahagian di dalam sukan ini adalah negara-negara yang pernah dijajah oleh empayar British satu ketika dahulu.

E-sukan kini dimasukkan untuk acara kali pertama di Sukan Komanwel 2022 dan diiktiraf Persekutuan Sukan Komanwel. Ia akan dilangsungkan pada 6 dan 7 Ogos ini. Ia akan dikelolakan oleh Persekutuan E-sukan Sedunia (Global Esports Federation).

Salah satu e-sukan yang akan dipertandingkan adalah Dota 2 yang cukup popular dan mempunyai peminat yang sangat ramai di serata dunia. Baru-baru ini, pasukan wanita Dota 2 Malaysia berjaya mendapatkan slot ke Birmingham dan kami dari pihak MyGameOn sempat menemu bual mereka.

Pasukan wanita ini dianggotai oleh:

  • Auroraa (kapten) 
  • Nada
  • Timun
  • Istarx
  • Shizuma

Sumber: Grills Gaming

Ketika ditanya tentang perasaan mereka dipilih menjadi wakil Malaysia untuk ke Sukan Komanwel, mereka berkata ianya satu pengalaman yang gembira buat mereka.

“Pada mulanya, kami berharap untuk menentang pasukan wanita dari Malaysia yang lain. Akan tetapi mungkin kerana kekurangan pemain wanita yang menunjukkan minat dan mempunyai kekangan masa, jadi kami tidak dapat menentang pasukan Malaysia yang lain. Namun, perasaan kami sangat gembira dapat menjadi wakil Malaysia untuk bertanding ke acara yang berprestij ini.” ujar mereka.

Ditanya tentang jadual latihan yang mereka jalani untuk persiapan ke Birmingham. Mereka berkata latihan mengambil masa dalam empat hingga lima jam sehari dan mempunyai jurulatih untuk mengawasi pasukan.

“Kami berlatih 4-5 jam sehari termasuk menonton replay, kami juga mempunyai jurulatih untuk melatih kami dan kadangkala kami bermain ranked game bersama-sama untuk menambahkan keserasian dan cara kami berkomunikasi di dalam pasukan,” ujar mereka.

Sumber: Grills Gaming

DISATUKAN KEMBALI

Pasukan wanita ini kembali disatukan selepas berpisah dari zaman kegemilangan mereka di dalam skuad Grills Gaming satu ketika dahulu. 

“Kemungkinan paling besar kami kembali bergabung adalah kerana Sukan Komanwel ini. Ia adalah satu acara yang memberikan kami peluang untuk mewakili negara. Kami sangat gembira kerana dapat bermain bersama kawan-kawan serta wanita yang paling hebat di Malaysia.

“Paling penting, kita dapat rasakan semangat patriotik dan juga keazaman untuk mendapatkan kemenangan!,” jawab mereka.

CABARAN SEBAGAI PEMAIN WANITA

Di dalam e-sukan, pastinya ada cabaran untuk setiap pasukan melangkah menuju ke impian mereka. Ditanya tentang cabaran mereka sebagai pemain wanita di dalam e-sukan, mereka berkata perjalanan mereka amat sukar.

“Ya ianya sangat sukar, ada beberapa pertandingan yang kami menang sebelum ini di mana pihak organisasi melarikan diri dan tidak memberikan kami wang kemenangan.

“Selain itu, pertandingan untuk pemain e-sukan wanita semakin berkurangan dan agak sukar untuk mendapatkan penaja. Oleh kerana itu, ianya menjadi mustahil untuk kami menjadikan karier ini sepenuh masa jika tiada gaji diberikan,” kata mereka.

Ditanya tentang minat mereka terhadap permainan video Dota, mereka berkata hanya segelintir yang bermula dari zaman Dota pertama.

“Hanya segelintir dari kami yang mula bermain semenjak Dota 1, yang lain menunjukkan minat terhadap Dota ketika zaman beta Dota 2. Kami sangat teruja dengan permainan yang kompetitif, bersaing sesama ahli pasukan mahupun melihat orang lain bermain.

“Dota 2 sentiasa mempunyai pertandingan yang akan dijalankan dan itu bermaksud permainan ini tidak akan tamat. Oleh kerana itu, ia menjadi penyebab Dota tidak pernah menjadi permainan yang membosankan untuk kami,” kata mereka.

SASAR PINGAT

Sebagai wakil Malaysia, pastinya membawa pulang pingat itu menjadi satu kebanggaan buat atlet negara. Begitu juga dengan pemain-pemain wanita mewakili Malaysia ini.

Walaupun ia hanya sukan pertunjukan dengan medal dan penjenamaan tersendiri, pasukan Malaysia ini tetap sasar menjadi yang terbaik.

“Kami akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan pingat, walau apa pun keputusan yang kami dapat. Perkara yang paling penting adalah saingan yang tidak dapat kami lupakan. Kami juga memohon sokongan anda semua kepada kami untuk membawa pulang pingat dan menjadi kebanggaan negara. 

“Kami juga berharap kami akan dapat bersaing seperti pemain lelaki secara sepenuh masa. Kami ingin melihat lebih banyak pertandingan dari kalangan wanita akan dilaksanakan di mana wang hadiah itu berbentuk tunai dan tidak hanya terhad kepada barangan gaming sahaja.

“Kami mahu lebih ramai orang melihat nilai murni di dalam saingan di antara pemain wanita secara profesional dan memberikan kami tajaan untuk kami melangkah lebih jauh,” akhiri mereka.

RELATED NEWS

+