Acara yang menyambut industri permainan video di Malaysia dan Asia Tenggara iaitu Level Up KL 2020 akan berlangsung dari 10 Oktober hingga 22 November tahun ini. Situasi pandemik COVID-19 memaksa Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mengadakannya secara digital.
Seperti biasa, Level Up KL tahun ini dipecahkan kepada dua bahagian. Bahagian bisnes disediakan untuk pihak-pihak seperti pembangun, penerbit, dan tenaga kerja lain dalam industri permainan video, dan bahagian seterusnya pula adalah untuk pengunjung awam.
Bahagian bisnes acara ini berlangsung dari 10 Oktober hingga 31 Oktober dan bahagian awam pula akan berlangsung dari 19 Oktober hingga 22 November. Berikut adalah graf tarikh mengikut aturcara untuk Level Up KL 2020:
“Kami membuat keputusan untuk mengadakan acara ini dari Oktober hingga November kerana kami mahu memberi masa kepada lebih ramai orang menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan,” kata Mohan Low, Ketua Media Interaktif di MDEC.
Antara aktiviti-aktiviti menarik yang akan diadakan di Level Up KL 2020 adalah SEA Game Jam 2020 dengan penyertaan daripada 100 pembangun dari Asia Tenggara, hackathon 36-jam dengan hadiah terkumpul RM6,000, dan kejohanan-kejohanan e-sukan dengan hadiah terkumpul RM120,000.
Antara permainan-permainan yang dibangun di Malaysia yang akan dibentang di Level Up KL 2020 adalah Bake ‘n Switch daripada Streamline Games, Zombie Soup daripada Aeonsparx Interactive Sdn Bhd, dan banyak lagi.
Untuk menyertai Level Up KL 2020 dan mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web Level Up KL.
Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.