MLBB M5: Reezpiupiu akui teruja, namun rasa tercabar memenuhi jangkaan peminat

Pengulas MLBB negara, Reezpiupiu mengakui rasa tercabar namun optimis dalam menyampaikan pengulasan terbaik Bahasa Melayu di kejohanan dunia MLBB, M5 yang sudah mula bersiaran sejak Sabtu.

Reezpiupiu ketika dihubungi berkata, dia sedia maklum dengan jumlah penonton dalam talian yang bertambah berbanding di MPL MY.

“Semestinya jangkaan penonton akan lebih tinggi kepada pengulas yang bertugas. Jadi perasaan pertama kali mengulas untuk siri M ini lebih kepada risau akan jangkaan yang diberikan kepada kami.

“Dari segi cabaran mungkin kepada pengurusan masa sebab saya masih belajar jadi perlu bijak susun masa untuk pelajaran dan kerja,” katanya yang berusia 22 tahun.

Tambahnya, pengulas bukan saja perlu bijak berbicara tentang permainan tapi kena buat ulangkaji (analisis) berkaitan pasukan yang main.

Melihat kepada susunan pengulasan siri M kali ini yang memfokuskan ‘duo cast’, tiada masalah buat Reezpiupiu.

“Perbezaan paling ketara adalah masa untuk bercakap. Bila ‘duo’ akan jadi lebih banyak bercakap, itu saja,” katanya.

Kejohanan dunia MLBB, M5 mempunyai saluran pengulasan Bahasa Melayu yang boleh ditonton di Facebook dan Youtube MLBB Official.

Ia berlangsung dari 2 Disember hingga 17 Disember ini, mengumpulkan 16 pasukan MLBB terbaik dunia merebut hadiah wang tunai terkumpul AS$900,000 (RM4.196 juta).

Foto: Facebook Reezpiupiu

RELATED NEWS

+