Server China untuk MLBB kini rasmi dilancarkan hari ini

Server MLBB China (CN) rasmi dilancarkan hari ini bersama dengan acara jemputan pra-musim yang akan dianjurkan hingga 31 Mac. Mereka turut melancarkan kejohanan bagi pemain MLBB di China.

Kejohanan Jemputan Pra-Musim 2024 MLBB CN akan dibahagikan ke dua peringkat. Pertama, ia akan menampilkan lapan pasukan iaitu JDG, KBG, LL, MYG, NOVA, XYG, MXG dan MAX berlawan antara satu sama lain.

Selepas menyiapkan dua peringkat ini, pasukan di ranking teratas akan mara ke pusingan kelayakan Esports World Cup (EWC) untuk kelayakan China. EWC dianjurkan seiring dengan Mid-Season Cup (MSC).

“Kami berharap dapat mencipta satu sistem kompetitif yang stabil untuk China, memberi peluang untuk latihan kompetitif bagi pemain profesional dan membawakan pertarungan ke tahap tertinggi bagi mereka yang tidak sabar mencuba MLBB CN.

“Kami akan terus menyediakan peluang ke peringkat akar umbi dan pemain profesional China menonjolkan bakat kepada penonton lebih 1 bilion di peringkat global selain membawakan kelab e-sukan baharu dan rakan kerjasama,” kata Mike Chu selaku Ketua MOONTON Games bahagian China.

NOVA Esports menang kejohanan sulung diadakan di China yang berakhir pada 3 Mac lalu.

Pastinya pentas MSC akan menjadi saksi bagaimana pasukan China akan berikan kelainan selepas menempuh kejohanan jemputan ini di negara mereka.

RELATED NEWS

+