MobaZane kecewa sebab Amerika Syarikat masih tiada MPL

Kapten pasukan BloodThirstyKings (BTK), MobaZane atau nama sebenarnya Michael Cosgun adalah pemain yang mewakili rantau Amerika Syarikat.

Namun, pembangunan e-sukan Mobile Legends Bang Bang tidak lancar seperti yang disangkakan di rantau itu. Susulan itu, MobaZane menggesa agar Moonton menganjurkan Mobile Legends Professional League (MPL) di rantau itu.

Menurut MobaZane, Moonton tidak memberi cukup perhatian kepada pemain MLBB di rantau itu. Dengan ketiadaan kejohanan seperti MPL, ia menjadikan ekosistem kompetitif MLBB agak hambar di Amerika Syarikat.

Ketiadaan apa-apa kejohanan di rantau itu juga menunjukkan tiada insentif untuk terus bermain MLBB. Susulan itu, beberapa ahli pasukan BloodThirstyKings memutuskan untuk bermain permainan MOBA dari Riot Games, iaitu Wild Rift.

“Ramai ahli BTK bermain Wild Rift. Saya tidak boleh salahkan mereka, ‘server tak guna’ di NA tidak memberi kami sebarang MPL,” katanya.

Walaupun pasukan BTK bermain Wild Rift untuk sementara waktu, MobaZane menerangkan bahawa pasukan itu akan tetap bermain MLBB.

Namun, kekecewaan MobaZane tidak tamat di situ. Dia juga berkata bahawa jika mereka memenangi apa-apa kejohanan anjuran Moonton, kebarangkalian Moonton tidak akan melakukan apa-apa untuk rantaunya.

“Apa yang perlu saya buat? Menang kejohanan, baru boleh dapat MPL? Apa yang menyedihkan, saya yakin walaupun kami menjuarai kejohanan, kami mungkin tidak akan dapat MPL,” kesal kapten berusia 20 tahun itu.

MobaZane juga menyatakan bahawa rantaunya sudah berbelanja wang besar demi MLBB tetapi ekosistem kompetitif rantau Amerika Syarikat masih hambar. Malah, dia juga membandingkan nilai pelaburan rantaunya dengan Indonesia.

“Kami menyalurkan mereka banyak wang. Kami memberi ML lebih banyak wang daripada Indonesia,” keluhnya dalam nada berang.

Dia juga menyatakan kebimbangan jika situasi ini berterusan, e-sukan MLBB mungkin akan pupus di Amerika Syarikat.

Sumber rujukan: YouTube

RELATED NEWS

+