Pengulas e-sukan bola sepak, Aiman Roshizam atau Sekaiichi selamat diijabkabulkan bersama pasangan tercinta, semalam.
Aiman berkata, biarpun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa namun beliau tetap meluahkan rasa syukur.
“Cabarannya agak lain sebab tak boleh ada majlis, SOP yang sangat ketat untuk aturan nikah.
“Tapi Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan harapnya perkahwinan ini kekal sampai ke jannah, insya-Allah,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.
Yang paling mengujakan buat dirinya adalah pasangan yang memahami dan berada bersama daripada tiada apa-apa sehinggalah ada rezeki untuk menikahi insan yang bersabar dengan karenah dan jadual padatnya (mengulas) selama ini.
“Saya akan bercuti beberapa hari sebelum kembali mengulas e-sukan dan Insya-Allah Liga Premier Malaysia apabila bersambung pada pertengahan Jun nanti.
“Status Liga Premier Futsal (MPFL) dan Liga M3 masih belum diketahui selepas ditunda, jadi saya akan terus menerima tawaran mengulas sehingga akhir tahun ini,” katanya.
Aiman dikenali dengan kemahirannya untuk mengulas dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu terutamanya untuk kejohanan e-sukan FIFA 21, Call of Duty Mobile dan lain-lain.
Sebelum ini, Aiman pernah menjadi penemubual bagi kejohanan ESL dan berada di Singapura untuk mengulas kejohanan FIFA yang dihadiri oleh pemain e-sukan Paris Saint-Germain (PSG Esports).
Aiman juga aktif mengulas di kejohanan FIFA Online 3 beberapa tahun dulu dan menjadi sebahagian daripada ahli penggerak bagi komuniti permainan itu.
Beliau juga menjadi pemenang Suara Emas bagi peraduan mengulas MFL pada 2019.