[Review] OPPO Enco W51 – pakej lengkap tetapi tidak sesuai untuk gaming

Unit ulasan disediakan oleh OPPO Malaysia.

Teknologi active noise cancellation (ANC) makin hari makin menjadi popular dalam segmen fon telinga nirwayar. Ia amat membantu dalam keadaan-keadaan sesak seperti apabila anda menaiki pengangkutan awam atau berada di tempat membeli-belah.

OPPO telah memulakan langkah mereka ke dalam dunia fon telinga nirwayar ANC dengan produk terbaru mereka OPPO Enco W51. Dijual pada harga RM369, OPPO menjanjikan senarai ciri-ciri yang padan dengan barangan audio berkualiti tinggi seperti pengecasawan nirwayar dan ketahanan air serta habuk.

Namun, mereka tidak menjanjikan apa-apa mod kependaman rendah yang membuatkannya sesuai untuk permainan video mudah alih. Walaubagaimanapun, ia hadir bersama Bluetooth 5.1 dan sistem penghantaran audio yang dikatakan mempunyai tahap kependaman rendah.

Jom kita uji ciri tersebut dengan beberapa permainan!

 

Sekadar memuaskan untuk permainan MOBA seperti Mobile Legends dan Wild Rift

Jika anda gemar bermain permainan-permainan mobile MOBA seperti Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan League of Legends: Wild Rift, OPPO Enco W51 akan memberikan anda pengalaman audio yang memuaskan.

Permainan-permainan seperti ini lebih mementingkan komunikasi antara pemain daripada audio dalam permainan. Oleh itu, mikrofon OPPO Enco W51 yang berkualiti tinggi menjadi satu kelebihan.

Penulis tidak dapat menguji prestasi mikrofon fon telinga ini di kawasan sesak kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih sedang dikuatkuasa di Lembah Klang. Dalam keadaan yang tidak bising, mikrofon ini menonjolkan kualiti suara yang sangat bagus untuk panggilan dan bualan suara.

 

Tidak sesuai untuk permainan penembakan

Para peminat Garena Free Fire, Call of Duty: Mobile (CODM), dan PUBG Mobile patut fikir sejenak sebelum membeli fon telinga ini. Walaupun prestasi audionya agak bagus, kependaman dalam permainan penembakan memang akan mengganggu permainan.

Bunyi tembakan dan pergerakan kaki dapat didengar tetapi selepas lebih kurang beberapa milisaat telah berlalu. Untuk pemain permainan penembakan, tindak balas pantas sangat penting dan kekurangan seperti ini akan menjejaskan kemahiran anda untuk beraksi dengan baik.

OPPO sepatutnya melengkapkan OPPO Enco W51 dengan tetapan kependaman rendah yang boleh diaktifkan ketika waktu permainan seperti yang dipasang di realme Buds Air Neo.

 

Pakej lengkap untuk pengguna biasa

Dari perspektif pengguna biasa dan bukan seorang gamer, penulis rasa OPPO Enco W51 sepasang fon telinga nirwayar yang sangat bagus. Kualiti audio untuk muzik dan video adalah jelas dan kuat. Walaubagaimanapun, suara menjadi “pecah” pada tetapan tertinggi. Kebiasaanya tetapan 80% memberikan kualiti audio terbaik.

Pembaca harus tahu bahawa penulis sendiri jarang menggunakan produk audio yang hadir bersama ANC dan penulis juga tak dapat mengujinya dalam keadaan yang sesak. Oleh itu, penulis tidak mampu memberi ulasan yang tepat mengenai ciri ini.

Pada pendapat penulis, ANC OPPO Enco W51 memang mewujudkan perbezaan apabila diaktifkan. Penulis mengujinya dengan mengaktifkan ANC dan menonton televisyen pada waktu yang sama. Suara yang datang daripada televisyen boleh dikatakan hampir tidak didengari sepenuhnya.

Bateri fon telinga ini pula berjumlah 480mAh untuk bekasnya dan 25mAh untuk fon telinga. Ia dapat tahan selama lebih kurang tiga jam apabila digunakan pada tahap suara 80%.

Jika anda berminat untuk membeli OPPO Enco W51, anda boleh mendapatkannya dari Shopee dan Lazada.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+