FIFA 19: Luqman ‘Fenrir’ Haziq Kongsi Cara Seimbangkan Masa Sebagai Pelajar Universiti & Pemain E-Sukan Profesional

Pemain profesional FIFA, Luqman ‘Fenrir’ Haziq berkongsi pengalamannya sebagai seorang atlit e-sukan bertaraf antarabangsa sambil bergelar sebagai seorang pelajar universiti.

Luqman ditemuramah oleh hos, Keanu Azman semasa berada di atas pentas Kejohanan E-Sukan Kampus #XPAXKEK Zon Tengah bertempat di UiTM Puncak Alam pada 6 April lepas. 

Terbang ke merata dunia 

Menurut esportsearnings.com, Fenrir merupakan pemain FIFA nombor 1 di Malaysia dan berada di tempat ke-90 dalam kedudukan antarabangsa mengikut kedudukan FIFA 19 Global Series

Luqman menjelaskan bagaimana dia layak mendapat kedudukan dunia, “Untuk dapatkan kedudukan dunia, kita kena masuk pertandingan-pertandingan rasmi dianjurkan oleh EA Sports, penerbit game FIFA.”

“Pada tahun lepas, saya pernah pergi ke Barcelona untuk kejohanan FIFA eWorld Cup. Pada bulan lepas, saya pergi ke Singapura buat pertama kali di Asia bagi FIFA Ultimate Team (FUT) 2019. Hujung bulan ini, insya Allah, saya akan pergi ke Manchester untuk FIFA 19 eChampions League.”

Pengalaman berharga

LUQMAN berentap di Malaysian Cyber Games (MCG)

Tambahnya, menjadi pemain FIFA profesional memberikan banyak pengalaman berharga. “Kita dapat mengembara ke luar negara dan berjumpa pemain profesional dari negara lain. Kita boleh ada ‘networking’ baik antara mereka,” kata Luqman.

Dia juga menjawab tanggapan orang ramai tentang karier e-sukannya, “Ramai orang kata kalau pergi luar negara seperti pergi melancong dan melawat sana sini. Sebenarnya, masa saya pergi ke Barcelona tahun lepas, bercuti itu hanya satu hari sahaja. Yang lain itu, mental dan fizikal kena selalu bersedia kerana itu penting untuk kejohanan.”

“Masa relaks dan santai memang tak banyak. Secara jujurnya, pergi ke luar negara memang seronok tetapi dalam masa yang sama, ia amat memenatkan kerana kita kena buat kerja.”

Luqman berkata dia mengambil masa sebulan ke dua bulan untuk membuat persediaan sebelum pertandingan dianjurkan oleh EA bermula. “Saya akan membuat beberapa latihan terlebih dahulu dan belajar dari pemain luar negara lain untuk bertukar ilmu antara satu sama lain,” kongsi Luqman. 

Pengurusan masa penting

Luqman (tengah) bersama ibu, Muhayon Mashodi (kanan) dan bapanya, Hajiman Mohd Yusof (kiri)

Pemain profesional berusia 22 tahun bagi game permainan bola sepak, FIFA telah mempunyai rekod karier e-sukan mantap meskipun baru sahaja bergiat aktif pada dua tahun lalu.

Semua ini berjaya dicapai oleh Luqman kini masih lagi bergelar seorang pelajar yang berada di tahun ke-3 Ijazah Sarjana Muda dalam Jurusan Kewangan di Universiti Malaya. 

Apabila ditanyakan bagaimana untuk seimbangkan pelajaran dan e-sukan, Luqman kata, “Ia memang susah. Saya sentiasa sibuk. Pengurusan masa sangat penting kerana sebagai seorang pelajar, kita mesti mahu cemerlang dalam pembelajaran dan dapat markah tinggi dalam peperiksaan. Tetapi, dalam masa yang sama, kita mahukan yang terbaik untuk karier e-sukan kita.”

Dalam kesibukannya sebagai seorang pelajar, dia lazimnya mengambil masa 2 jam ke 3 jam sehari untuk buat latihan FIFA untuk berada dalam prestasi konsisten.

Kepada mereka yang mahu berkecimpung sebagai pemain e-sukan profesional, Luqman beri nasihat, “Ayah saya selalu cakap, kita kena work hard and play hard. Pelajaran kita penting kerana karier e-sukan ini tidak lama. Pemain paling lama bertahan pun berumur 30 tahun.”

“Jadi, kita kena backup plan dan backup plan itu adalah pelajaran kita. Main game 24 jam itu tiada masalah tetapi paling penting, jangan lupa diploma dan ijazah kita pegang.”

Untuk tahu lebih lanjut bagaimana Luqman memulakan karier profesional e-sukan FIFA mampu raih sebanyak RM10,000 dan turut disokong oleh ibu bapanya, korang boleh tengok keseluruhan temuramah siaran langsung dalam video di atas.

Kempen #HealthyGaming adalah initiatif yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan produktif bagi menjana pembangunan e-sukan dan industri permainan digital negara.

Terima kasih kepada XPAX, Kitamen, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Predator, Sades, Moonton E-Project, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Malaysia (ESM), Cadbury, Todak, Boost, Mountain Dew dan pihak UiTM Puncak Alam atas kerjasama menjayakan #XPAXKEK.

Ikuti MyGameOn di Facebook dan Instagram serta saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+