Asha anggap pengalaman jadi hos di MPL cukup mendebarkan dan mencabar

Hos baru kita di MPL MY musim ke-9 iaitu Asha “SleepyGodzillas” Faudzi memulakan debut di dalam arena e-sukan Mobile Legends.

Walaupun ini adalah kemunculan pertamanya, namun Asha tidak kekok untuk menjadi hos di dalam pertandingan berprestij ini.

Ramai juga di antara netizen yang memuji Asha mampu untuk menggalas tugasnya menjadi hos di samping mengulas serba sedikit tentang perlawanan di antara pasukan MPL.

Ketika ditemubual oleh pihak kami, ditanya tentang asal usul dirinya. Asha berkata dia juga adalah seorang streamer.

“Saya seorang streamer di page SleepyGodzillas yang ditubuhkan pada dua tahun lalu. Sekarang ini, saya ingin mencuba menjadi hos dan alhamdulillah MPL memberikan tawaran saya untuk menjadi hos kali ini,” katanya.

Ditanya tentang perasaannya menjadi hos di MPL MY, Asha berkata ia satu pengalaman yang cukup mendebarkan.

“Pada mulanya, ia adalah satu pengalaman yang mendebarkan. Saya baru mula bermain Mobile Legends untuk satu bulan dan tiba-tiba ada tawaran dari MPL untuk menjadi hos.

“Asha berasa teruja juga kerana Asha banyak belajar dari segi hosting dan bagaimana cara ingin bermain permainan peranti mudah alih itu sendiri,” katanya.

Ditanya tentang mengapa Asha memilih untuk bermain Mobile Legends, dia berkata para gamer tidak terhad kepada satu permainan video sahaja.

“Sebagai gamer, kita memang tidak terhad untuk bermain satu permainan video sahaja. Selain dari PUBG Mobile, ramai rakan-rakan Asha mengajak untuk bermain Mobile Legends dan ianya adalah satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Impian Asha ketika ini adalah untuk mengembangkan sayap ke dalam industri e-sukan. Tidak hanya kekal kepada gaming dan streaming sahaja akan tetapi menjadi hos dan pengulas juga,” akhirinya.

Foto: SleepyGodzillas

RELATED NEWS

+