CD Projekt Red Sedang Bangunkan 3 Projek Game Berkaitan Cyberpunk 2077 Termasuk Versi Multiplayer

KEMASKINI (3/7/2019): CD Projekt Red mengeluarkan kenyataan baru terhadap satu laporan dalam bahasa Poland yang diterjemahkan melalui Google Translate berkata 3 projek game berkaitan Cyberpunk sedang dibangunkan termasuk satu game multiplayer. Rupa-rupanya ada kekeliruan dalam penterjemahan ini.

Menurut PC Gamer, wakil daripada syarikat itu jelaskan, “Kami ada lima pasukan yang tengah menjalankan beberapa projek yang mana tiga pasukan sedang fokus kepada pembangunan Cyberpunk 2077  termasuk CD Projekt Red Warsaw dan Kraków. Studio Wrocław pula menempatkan 40 pakar dalam industri penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Terdapat juga satu pasukan berdedikasi di studio Warsaw yang sedang membangunkan Gwent dan pasukan terakhir, Spokko tengah bekerja keras untuk membangunkan projek game mobile yang belum diumumkan lagi.”

Kalau nak tahu apa kekeliruan yang telah dijelaskan, boleh baca berita asal di bawah.

BERITA ASAL (2/7/2019):

Kalau korang rasa Cyberpunk 2077 sudah cukup membuatkan korang berkobar-kobar nak main, apa kata CD Projekt Red tambah lagi dua projek game yang berkaitan dengan dunia Cyberpunk dalam wishlist korang?

Menurut laporan bisnes dari negara Poland (diterjemah melalui Google Translate), presiden CD Projekt Red, Adam Kiciński berkata studio ini sedang membangunkan 3 projek game Cyberpunk iaitu salah satunya adalah Cyberpunk 2077 dan game multiplayer sahaja.

Versi multiplayer bagi Cyberpunk ini mungkin merujuk kepada GWENT iaitu satu olahan permainan kad dalam The Witcher yang boleh dimainkan secara percuma tetapi studio berasal dari Poland ini masih lagi tidak menerangkan mod multiplayer yang bakal dilancarkan.

Kiciński juga menjelaskan setiap projek game Cyberpunk dibangunkan oleh pasukan berbeza. Sebagai contoh, versi multiplayer Cyberpunk giat dibangunkan oleh 40 pembangun di studio yang bertempat di Wrocław.

Naib presiden, Piotr Nielubowicz menyampaikan, “Projek game besar kami seterusnya juga akan berdasarkan dalam dunia Cyberpunk dan kami sedang bekerja keras untuk merealisasikan projek begitu besar dan inovatif daripada kami.”

CD Projekt Red turut bakal menunjukkan demo terbaru Cyberpunk 2077 yang mana sebelum ini hanya didedahkan kepada media hadir pada E3 2019 kepada tontonan umum ketika persidangan Gamescom 2019 pada bulan Ogos ini.

Pada akhir Ogos, syarikat ini akan memberikan info baru tentang game ini yang akan dipersembahkan di pentas PAX West di Seattle.

Keanu Reeves muncul di pentas E3 2019 untuk mempersembahkan Cyberpunk 2077 sudah cukup beri sakit jantung kepada kami. Agak-agaknya apakah kejutan yang sedang dirahsiakan oleh CD Projekt Red ini? 

Sumber: Twitter

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+