EBN lancar Esports City pertama di Malaysia sebagai destinasi acara e-sukan antarabangsa

Kumpulan e-sukan terbesar, Esports Business Network (EBN) hari ini melancarkan Esports City pertama di Malaysia sebagai destinasi acara e-sukan antarabangsa sekali gus memperkukuhkan industri e-sukan Malaysia di peringkat negara, serantau dan arena global.

Bernilai RM 4 juta, EBN Esports City dengan perkhidmatan penuh ini terletak di tingkat teratas Quill City Mall di tengah kesibukan kota raya Kuala Lumpur. Malah, ia turut diiktiraf sebagai kemudahan e-sukan yang terbesar di Asia Tenggara. Direka untuk menjadi lokasi ideal untuk e-sukan dengan keluasan 65,000 kaki persegi, ia dilengkapi dengan teknologi dan sistem sokongan tercanggih untuk menganjurkan kejohanan, acara dan konvensyen e-sukan bertaraf dunia.  

EBN Esports City kini merangkumi EBN Esports Arena, Orange Esports Club, kafe e-sukan premium, Ibu Pejabat Esports Business Network serba baharu dan tiga studio siaran langsung yang berkelengkapan penuh. 

EBN Esports Arena adalah dewan acara yang terbentang luas tanpa tiang, berkeluasan 10,650 kaki persegi dengan kemudahan produksi dan penyiaran yang komprehensif untuk menampung sehingga 1,000 penonton dan sesuai untuk syarikat komersil yang mencari lokasi berkelengkapan penuh untuk acara e-sukan.

Keseluruhannya, EBN Esports City menyajikan kemudahan perniagaan dan komuniti yang holistik bertujuan untuk mewujudkan ekosistem e-sukan yang kuat, berasaskan tiga teras utama – pengguna, perniagaan dan peluang dalam industri e-sukan.

Manakala Orange Esports Club pula dibina sebagai tempat untuk acara komuniti dan gaya hidup e-sukan dengan kemudahan 360° disertakan dengan komputer peribadi (PC), alat mudah alih dan konsol; membawakan pengalaman sebenar e-sukan untuk pemain kasual mahupun pemain e-sukan profesional.

Sejajar dengan fokus ini, The Gaming Company yang merupakan anak syarikat Esports Business Network (EBN), secara rasminya telah mengumumkan kerjasama dengan pembangun permainan e-sukan global, Riot Games Asia Tenggara.  

Lesen eksklusif yang khusus untuk Malaysia dan Singapura ini akan membawa industri e-sukan ke tahap baharu melalui perancangan kesukanan kolej dan e-sukan untuk saling berentap menerusi penembak taktikal 5v5 berasaskan karakternya, VALORANT pada tahun 2021.

Kejohanan serantau tersebut bakal memberi peluang kepada pemain di seluruh Malaysia dan Singapura untuk mula membina legasi mereka di segenap rantau Asia Tenggara menerusi platform rasmi.

Bercakap ketika pelancaran EBN Esports City, Adrian Gaffor, Ketua Pegawai Eksekutif di Esports Business Network (EBN) mengatakan, “Misi syarikat kami adalah untuk terus membuka ruang kepada pelbagai jenama untuk memasuki dunia e-sukan dan gaming serta mengembangkan ekosistem yang kukuh dan bertahan lama untuk komuniti  industri ini.

“Setelah dua dekad menjadi sebahagian daripada industri e-sukan yang pesat membangun, kami melihat adanya peluang keemasan di saat ini. Kami percaya inilah masanya untuk kami memperbanyakkan apa yang kami tawarkan dan memperkenalkan konsep serba baharu di pasaran untuk jenama komersial dan komuniti e-sukan.

“Pelancaran EBN Esports City menjadi mercu tanda untuk fasa pertama rancangan kami. Walaupun tahun 2020 cukup menguji daya tahan kita dengan kehadiran pandemik yang telah melanda dunia, e-sukan masih berkembang dengan pesatnya dan terus mencapai aras yang membanggakan.

“Kami teruja untuk memacu momentum ini di rantau Asia Tenggara.” katanya.

Kumpulan syarikat Esports Business Network (EBN) juga merangkumi Prime Live, sebuah agensi pengurusan bakat e-sukan, Orange Esports, sebuah organisasi terkemuka pasukan e-sukan, dan Borneo Gaming Company (BGC), agensi pemasaran e-sukan pertama Borneo.

Pada masa ini, Malaysia berada di kedudukan #21 di peringkat global dengan lebih daripada 14 juta pemain dan anggaran pendapatan RM 2 bilion.

Segala berita terkini mengenai Esports Business Network boleh didapati di https://ebnbiz.com/.

Foto: EBN

RELATED NEWS

+