"> " /> " />

ESI Hub bakal dijadikan pusat pembangunan kemahiran e-sukan

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Puan Ramona Mohd Razali menyempurnakan upacara pelancaran hab sukan elektronik kebangsaan yang dinamakan ESI Hub di Spacerubix, Puchong, Selangor, semalam.

Memuatkan sebuah Tournament Hall dan 13 bilik permainan yang boleh juga berfungsi sebagai bilik latihan atau studio mini, ESI Hub pasti menjadi pilihan komuniti sukan elektronik tempatan untuk mengembangkan bakat dan menajamkan kemahiran mereka dalam industri sukan elektronik tempatan.

Atlet, pemain profesional, pasukan, jurulatih, pencipta kandungan dan pemain kasual kini boleh menikmati akses kepada semua kemudahan fasiliti dan peralatan permainan terkini.

Dengan lokasi strategik di Spacerubix, iaitu sebuah kompleks belia yang popular untuk acara sukan dan komuniti di Puchong, para pengunjung ESI Hub akan dapat mengakses hab ini dengan mudah kerana ia dihubungkan dengan lebuhraya-lebuhraya utama, stesen LRT, ruang parkir yang luas dan pengangkutan awam yang lain.

Bilik-bilik di hab ini boleh juga berfungsi sebagai bilik latihan atau studio mini yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan permainan termasuk 11 unit konsol Playstation 5 dengan sepasang alat kawalan setiap unit dan 22 buah Gaming PC, sesuai untuk pelbagai kategori permainan sama ada menggunakan konsol, telefon bimbit, atau komputer.

ESI Hub kini dibuka untuk tempoh percubaan di mana orang ramai boleh menghubungi ESI untuk melawat kemudahan hab dan mencuba peralatan permainan.

Hab ini akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada bulan Julai dan akan menawarkan kadar subsidi selama tiga bulan, membolehkan semua untuk memanfaatkan kemudahan tersebut

Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated, Ahmed Faris Amir menyatakan “ESI Hub akan menjadi rumah dan pusat bagi ekosistem sukan elektronik di Malaysia, dan ini membuka ruang kepada syarikat-syarikat swasta untuk berkolaborasi dan menyediakan tajaan.

“Daripada pelibatan secara langsung kepada penganjuran bersama kejohanan mini, termasuk juga pengaktifan jenama, ESI Hub sesuai untuk mana-mana syarikat yang sedang meneroka penglibatan berimpak tinggi dengan komuniti sukan elektronik tempatan.

“Kami menjemput semua syarikat untuk mempertimbangkan ESI Hub sebagai salah satu lokasi pilihan dalam setiap perancangan program pembangunan dan latihan mereka,” katanya.

Selepas pelancaran hab itu, ESI akan mengumumkan Edisi Kedua Liga E-sukan Negara (Malaysia Esports League 2022 – MEL22) dan Garis Panduan Kawal Selia Kebangsaan untuk industri sukan elektronik sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Fasa Ke-2 ESI.

Butiran lanjut boleh didapati di halaman media sosial ESI di Facebook, YouTube, Twitter, Instagram dan TikTok.

RELATED NEWS

+