Yana Samsudin, Gamesbond, Orange Esports dan Persatuan Esports Perak mohon sokongan bajet 2022 untuk industri e-sukan

Industri e-sukan semakin menapak di Malaysia dan ramai menyedari peluang dan potensi untuknya.

Esports Earning, mengeluarkan data yang Malaysia antara 18 negara paling tinggi pendapatan e-sukan sebanyak AS$12.8 juta terkumpul daripada keseluruhan 771 pemain profesional.

Beberapa individu dalam e-sukan turut menyuarakan hasrat supaya Pembentangan Bajet 2022 yang bakal berlangsung esok mempunyai bajet untuk pembangunan e-sukan.

Yana Samsudin menerusi kapsyen di akaun Instagram @yanasamsudin juga mengatakan “…geng-geng esports dan streamers ingin memohon sokongan kerajaan dalam mempertingkat peruntukan belanjawan esports supaya dapat bantu kami kembangkan potensi bakat-bakat muda..”

Gamesbond pula memberitahu melalui Instagram juga memohon, “Malaysia mempunyai liga rasmi yang diiktiraf oleh EA Sports dan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai slot di FIFA Global Series East Asia Playoff.

“Bukan itu sahaja, Skuad FAM eRimau juga berada di kedudukan ke-3 dunia di carta rasmi FIFA bagi negara-negara yang menyertai kejohanan FIFAe Nations Cup. Perkembangan positif ini perlu dijadikan titik permulaan untuk membangunkan komuniti ini dan melahirkan lebih ramai jaguh FIFA yang boleh menjuarai kejohanan antarabangsa,”

Pengasas Orange Esports juga menyambut baik advokasi Bajet e-sukan ini. Beliau meluahkan, “Kerajaan perlu melabur lebih banyak dalam esports sekiranya kita mahu lihat pencapaian yang lebih baik dan kekal kompetitif. Peruntukan bajet ini akan membantu ekosistem esports di Malaysia yang mana ketika ini baru berjinak-jinak untuk terus pesat membangun,”

Selain itu, Presiden Esports Perak, Muhammad Naim Al Amin juga memberi beberapa cadangam menarik yang terkandung dalam Bajet 2022 iaitu pembikinan akademi esports melalui akaun media sosial beliau.

“Dalam Jelajah Bajet 2022, kami diberi ruang dan peluang untuk berkongsi idea dan cadangan dalam Bajet 2022 dan antara yang menarik adalah akademi esports. Diharap Bajet 2022 merangkumi sukan elektronik sebagai industri yang dapat memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi khususnya kepada golongan anak muda,” tambah beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir berkata, “Mendengar luahan dan harapan daripada pemegang taruh esports seperti Yana, Frank, Gamesbond dan Naim, saya menyokong pendapat mereka dan berharap MoF akan menambah lagi bajet tahun hadapan untuk pembangunan bakat dan kelestarian ekonomi dalam industri ini.

“ESI akan terus memastikan bajet e-sukan disalurkan menerusi kami akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pembangunan ekosistem sukan elektronik yang mampan, rancak dan inklusif di Malaysia,” ujar beliau lagi.

Industri sukan eletronik di Malaysia ini mengharapkan bajet yang lebih akan diperuntukkan bagi membangunkan industri sehingga potensi ekonomi sejajar dengan menjadikan Malaysia sebuah kuasa besar e-sukan di Asia Tenggara.

RELATED NEWS

+