ESM Sedia Memberi Tajaan Kepada Atlet E-Sukan Yang Layak Ke Sukan Asia 2018

Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) sedia membantu pemain-pemain e-sukan berlesen yang layak ke Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, hujung Ogos ini. Mereka adalah pemain Pro Evolution Soccer (PES) iaitu Muhammad Khairul dan Mohd Haikal, satu-satunya wakil Malaysia untuk ke temasya sukan itu. 

Naib Presiden ESM Terengganu, Syed Afif Hakimi berkata, ini adalah bagi memastikan pemain ini mendapat hak yang sewajarnya.

“ESM sebagai badan yang bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), menjadi tanggungjawab kami untuk mencari pemain bagi semua e-sukan yang dipertandingkan di temasya sukan. Kali ini, kami bertanggungjawab untuk menguruskan pemain PES yang secara rasminya layak ke sana.

“Kali ini, kami akan memberi bantuan berbentuk elaun dan tajaan penuh (termasuk penginapan, penerbangan dan sebagainya) sepanjang berada di sana kelak,” katanya ketika ditemui di Sri Pentas, Bandar Utama petang tadi.

Afif berkata, walaupun sesetengah e-sukan tak mempunyai publisher di Malaysia, pihaknya akan bekerjasama dengan badan berkaitan ataupun organisasi bagi mencari pemain yang layak ke temasya sukan lain pada masa depan.

“Melalui pusingan kelayakan inilah kita dapat mencari pemain yang betul-betul layak untuk menyertai temasya sukan (yang mempertandingkan e-sukan). Jadi kami sedia bekerjasama dengan pihak berkaitan,” katanya yang juga pemilik gaming studio Kuppy Station di Kuala Terengganu.

Norhaikal dan Khairul akan bertanding dalam Sukan Asia 2018 yang dijangka bermula pada 26 Ogos ini. Pertandingan demonstrasi e-sukan ini mempertandingkan enam permainan e-sukan antaranya Arena of Valor, League of Legends, Pro Evolution Soccer, Starcraft II, Clash Royale dan Hearthstone.

Demonstrasi ini adalah persediaan bagi acara e-sukan yang lebih besar dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China. Acara itu juga akan mempertandingkan pingat kepada atlet yang menyertainya.

RELATED NEWS

+