Game Baru The Witcher Akan Mula Dibangunkan Selepas Cyberpunk 2077

Cyberpunk 2077, permainan video terbaru daripada CD Projekt RED (CDPR), bakal tiba pada bulan September tahun ini. Sebelum ini, studio tersebut terkenal dengan trilogi The Witcher.

Adam Kiciński, Presiden CDPR, baru-baru ini menyatakan bahawa studio tersebut akan mula membangunkan sebuah permainan video The Witcher baharu sejurus selepas Cyberpunk 2077 disiapkan.

Pada waktu ini, pasukan-pasukan besar di CDPR memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Cyberpunk 2077 dan juga kandungan pasca-pelancaran untuk permainan video tersebut.

Cyberpunk 2077 ialah sebuah permainan video RPG yang berlaku dalam dunia distopia futuristik.

Walaubagaimanapun, Adam tidak menyebut judul “The Witcher 4” secara khususnya. Hal ini kerana permainan video The Witcher yang baru akan berlaku dalam dunia yang sama tetapi tidak semestinya mengikuti kisah hidup Geralt, protagonis trilogi The Witcher.

Satu lagi perkara yang diterangkan oleh Adam ialah kesemua permainan video yang sedang dirancang oleh CDPR hanya akan dibangunkan berdasarkan dunia The Witcher dan Cyberpunk.

Trilogi permainan video The Witcher dibuat berdasarkan siri buku The Witcher yang ditulis Andrzej Sapkowski.

Buku-buku tersebut menggambarkan sebuah dunia fantasi yang penuh dengan pelbagai raksasa dan kaum fantasi seperti elf dan dwarf. Ini bermaksud CDPR boleh menerokai banyak lagi cerita-cerita yang menarik dalam dunia The Witcher untuk dijadikan permainan video.

Cyberpunk 2077 bakal tiba untuk PC, PlayStation 4 (PS4), Xbox One, dan Google Stadia pada 17 September 2020.

Sumber: PSU

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+