Sebelum ini kita mengenali nama dan jasa atlet sukan dalam buku teks tapi sekarang, atlet e-sukan juga turut mendapat tempat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4 menerusi tiga halaman buku teks.
Ini adalah pandangan dan perkongsian satu-satunya atlet wanita ditampilkan dalam buku teks tersebut, Ramona Azween yang mahir bermain Counter Strike.
Baca lanjut: E-sukan diterapkan dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4
MyGameOn: Sebagai satu-satunya atlet wanita dipaparkan dalam buku teks ini, apa komen anda? Adakah ada rasa wanita sudah berada di tahap kejayaan yang sepatutnya?
Ramona: Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan bersyukur atas peluang ini. Saya sudah berada dalam industri melebihi 16 tahun. Berpeluang untuk memperkenalkan e-sukan menerusi pendidikan adalah satu penghargaan besar untuk negara dan diri saya sendiri.
Wanita selalunya dijadikan sebagai bahan jenaka pada beberapa tahun lalu dan kami juga dipandang rendah apabila ia membabitkan e-sukan. Sekarang, semua tanggapan itu boleh dihapuskan menerusi pencapaian dan kejayaan untuk negara dan di peringkat lebih tinggi. Siapa tahu pada masa depan kita (wanita) boleh membawa pingat emas menerusi acara e-sukan.
MGO: Macam mana inisiatif Kementerian Pendidikan ini dapat mendidik pelajar tentang e-sukan?
Ramona: Dari pandangan saya, inisiatif ini mempunyai impak yang pelbagai. Pertama, ia akan mendidik pelajar tentang kejayaan atlet e-sukan dan bagaimana minat mereka boleh membawa kepada karier jangka panjang.
Kedua, ia akan memberikan kesedaran dan pendedahan kepada ibu bapa terhadap e-sukan yang ia lebih dari sekadar bermain game. Ibu bapa juga akan lebih memahami dan yakin yang e-sukan tidaklah dikaitkan dengan perjudian atau sebarang bentuk ketagihan.
Saya juga ada menerima pesanan mesej dari pelajar yang terinspirasi dengan kerjaya saya dalam e-sukan. Sangat bersyukur sebab mereka pandang dari sudut positif.
MGO: Adakah anda ingin melihat lebih ramai atlet wanita ditampilkan dalam buku teks?
Ramona: Ya, saya ingin melihat lebih ramai wakil dari kalangan wanita. Mereka perlu menjadi sebahagian dari kempen mempromosikan wanita dan e-sukan kerana ramai yang berjaya di luar sana.
Sebagai contoh, saya berpeluang bekerjasama dengan bakat muda seperti pasukan lama saya, Sphynx dan ramai lagi bakat luar sana. Mereka adalah atlet yang profesional dan sangat gigih yang terdiri daripada gadis muda dan saya rasa pendedahan perlu diberikan lebih kepada mereka.
Ramona: Banyak medium boleh digunakan untuk mempromosikan e-sukan. Jadi saya ingin melihat lebih banyak jenama bukan endemik seperti jenama sukan dan agensi kerajaan untuk mengambil inisiatif menaikkan e-sukan menerusi pelan pemasaran mereka.