CEO ONE Esports Kongsi Petua Bagi Atlet E-Sukan Untuk Mendapat Tajaan

Tanpa disangkal lagi, industri e-sukan semakin berkembang dengan mekar. Dulu, hanya syarikat atau jenama berkaitan gaming (dikenali sebagai endemic) seperti penerbit dan pembangun game, syarikat telekomunikasi, syarikat pembuatan komponen elektronik dan lain-lain yang melabur dalam industri ini.

Kini, banyak jenama yang tidak berkaitan dengan gaming (non-endemic) mula memberi tajaan kepada e-sukan. Contoh syarikat yang aktif dalam tajaan e-sukan adalah Red Bull, Domino’s, AirAsia, KFC dan banyak lagi. 

CEO ONE Esports yang baru dilantik, Carlos Alimurung

Organisasi sukan fizikal seperti ONE Championship yang fokus kepada sukan seni mempertahankan diri campuran juga mengorak langkah ke dalam arena e-sukan yang mana dikenali sebagai ONE Esports. Menurut CEO baru ONE Esports, Carlos Alimurung menerangkan ekosistem e-sukan di Asia Tenggara semakin membesar dan ianya sejajar dengan komuniti peminat sukan seni mempertahankan diri.

Sebagai seorang yang berpengalaman dalam pengurusan e-sukan, Alimurung berkongsi sedikit nasihat atau petua bagaimana pasukan, organisasi dan atlet e-sukan untuk mendapatkan tajaan.

Membina pasukan yang mantap

Setelah bertahun-tahun memerhati jatuh dan bangun industri e-sukan, Alimurung menekankan semangat kerjasama antara ahli pasukan adalah sangat penting. Beliau menyangkal persepsi orang ramai tentang kejayaan satu pemain utama sahaja dalam sebuah pasukan tidak semestinya cukup.

“Anda kena membentuk satu pasukan kohesif dan mampu bekerjasama antara satu sama lain. Dalam peringkat awal pembentukan pasukan e-sukan, ia sangat mustahak kerana kalau tiada semangat bersatu-padu dan tidak menang pertandingan, maka ia agak susah untuk menarik perhatian pelabur dan penaja,” kata Alimurung.

Bermain sambil menghiburkan peminat

Jika kita lihat pasukan e-sukan berjaya sekarang seperti Geek Fam, Fnatic dan Team Liquid, mereka bukan sahaja bertanding bersungguh-sungguh. Malah, pasukan-pasukan ini faham aspek hiburan dalam bisnes e-sukan. 

Alimurung membalas, “Sesuatu organisasi e-sukan perlu memahami cara terbaik untuk bercakap kepada komuniti, sering membalas maklumbalas mereka dan belajar daripada respons pengikut.” Jika pasukan e-sukan benar-benar memahami isi hati komuniti dan peminat mereka, ini bermakna mereka dapat mencari tajaan yang betul dan lebih-lebih lagi, menempa kejayaan cemerlang dalam industri.

Apa yang paling utama, CEO ONE Esports ini bercadang pasukan e-sukan untuk sentiasa konsisten dalam usaha mereka dan mengambil berat antara satu sama lain serta rajin melibatkan diri dalam kalangan komuniti e-sukan.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+