Jualan Musim Panas Steam: 10 permainan video bawah RM15 yang best

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sehingga pengakhiran Jualan Musim Panas Steam tahun ini. Ramai pemain PC semestinya sudah membeli banyak permainan video baharu.

Bagi anda yang masih belum membuat keputusan untuk membeli apa-apa di Steam atau masih mempunyai wang lebihan, anda boleh merujuk artikel ini untuk senarai permainan video yang murah dan menarik.

Jualan Musim Panas Steam akan berakhir pada 10 Julai ini. Jangan lupa juga bahawa pembelian pertama yang berjumlah RM60 akan menerima potongan RM10.

 

Fallout New Vegas

Harga promosi: RM6.90

Harga biasa: RM23.00

Antara semua judul Fallout yang dilancarkan selepas Fallout 2, Fallout New Vegas ialah judul Fallout yang paling bagus dari segi menonjolkan aspek role-playing game (RPG) yang memberikan anda kebebasan untuk memilih cara bermain.

Tidak seperti Fallout 3 dan Fallout 4, watak pemain tidak diberikan latar belakang yang konkrit. Oleh itu, pemain bebas untuk memberikan identiti tersendiri serta set kemahiran unik kepada watak tersebut.

Kelemahan utama Fallout New Vegas ialah kualiti grafiknya tetapi aspek-aspek lain seperti permainan dan jalan cerita menjanjikan pengalaman permainan yang tidak mudah dilupakan.

 

Tomb Raider

Harga promosi: RM7.99

Harga biasa: RM39.99

Pada tahun 2013, Crystal Dynamics dan Square Enix membawa kembali salah seorang heroin popular dalam dunia permainan video iaitu Lara Croft dalam permainan video Tomb Raider.

Jika anda meminati permainan video aksi dan pengembaraan seperti Uncharted, ini merupakan permainan video yang sesuai untuk anda. Ia juga mempunyai elemen RPG di mana anda boleh menaiktaraf kemahiran-kemahiran Lara.

Walaupun sudah berusia tujuh tahun, Tomb Raider masih mempunyai kualiti grafik yang agak bagus. Jalan cerita judul ini biasa-biasa sahaja tetapi perwatakan Lara yang baharu ini menjadikannya watak yang matang dan mendalam.

 

SUPERHOT

Harga promosi: RM14.80

Harga biasa: RM37.00

Masa hanya bergerak jika anda bergerak.

Itulah peraturan utama dalam rekaan permainan SUPERHOT. Permainan video first-person shooter (FPS) yang hanya menggunakan warna merah dan putih ini memerlukan anda untuk berfikir dan bertindak dengan pantas.

Jangan tertipu dengan grafik minimalis judul ini. Ia mempunyai jalan cerita yang agak menarik di mana anda perlu menyelesaikan misteri di sebalik sebuah perisian komputer yang mengawal minda orang.

 

Bayonetta

Harga promosi: RM10.00

Harga biasa: RM40.00

Nama Hideki Kamiya terkenal dalam industri permainan video kerana beliau mengarahkan pembangunan pelbagai permainan video aksi hebat seperti Okami, Viewtiful Joe, dan Bayonetta.

Bayonetta mempunyai permainan yang sama dengan judul-judul siri Devil May Cry. Pembinaan kombo dan teknik mengelak pada saat terakhir diberi keutamaan dalam permainan video ini.

Anda diberikan pelbagai jenis senjata untuk menghancurkan musuh seperti pistol-pistol yang diletakkan di tangan dan kaki, katana yang boleh membunuh musuh dengan satu potongan, dan banyak lagi.

 

Vanquish

Harga promosi: RM10.00

Harga biasa: RM40.00

Vanquish dibangunkan oleh PlatinumGames yang juga membangunkan Bayonetta. Ia mempunyai permainan aksi pantas yang sama tetapi memberi fokus terhadap permainan tembakan dan bukan pertarungan jarak dekat.

Ciri menarik utama Vanquish ialah perisai Augmented Reaction Suit (ARS) yang dipakai oleh watak utama. Perisai tersebut dipasang roket dan memberikan kuasa memperlahankan masa dan meluncur dengan pantas.

Seperti kebanyakan permainan video yang dikeluarkan oleh PlatinumGames, jalan cerita judul ini selalunya tidak masuk akal tetapi ia amat menghiburkan.

 

Dishonored

Harga promosi: RM11.85

Harga biasa: RM39.50

Bagi mereka yang lebih menggemarkan permainan video genre stealth, Dishonored merupakan sebuah judul moden yang memberikan pengalaman permainan yang memuaskan.

Ia menggabungkan aspek-aspek kebiasaan genre stealth dengan kuasa-kuasa luar biasa seperti teleportasi dan juga penggunaan gajet.

Anda akan bermain sebagai seorang lelaki yang difitnah membunuh seorang permaisuri dan pilihan-pilihan anda dalam interaksi bersama watak-watak lain boleh mengubah penamat jalan cerita.

 

Metro 2033 Redux

Harga promosi: RM9.50

Harga biasa: RM38.00

Satu elemen penting dalam menjadikan sebuah permainan video hebat ialah atmosfera atau suasana. Metro 2033 Redux ialah sebuah permainan video yang mewujudkan suasana pasca-apokaliptik yang hampir sempurna.

Dalam permainan video FPS ini, anda diletakkan di Russia pada zaman pasca-apokaliptik. Semua manusia terpaksa hidup di bawah tanah untuk mengelak radiasi nuklear dan masyarakat baharu ini menjadikan peluru sebagai mata wang.

Pemain sentiasa harus membuat pemilihan sama ada mahu menyimpan peluru untuk digunakan dengan senjata api atau menggunakan peluru untuk membeli barang-barang penting dan juga untuk menambahbaik senjata.

 

Sleeping Dogs: Definitive Edition

Harga promosi: RM8.40

Harga biasa: RM56.00

Dalam Sleeping Dogs, anda bermain sebagai Wei Shen, seorang polis yang menyamar sebagai ahli kumpulan samseng di Hong Kong. Tugasan anda ialah untuk menjatuhkan kumpulan-kumpulan samseng yang bertapak di sana.

Sleeping Dogs menggabungkan permainan dunia terbuka siri Grand Theft Auto (GTA) dengan aksi tembakan Max Payne dan sistem pertarungan seni mempertahankan diri yang memuaskan.

Penulisan skrip dan dan lakonan suara Sleeping Dogs layak dipuji kerana berjaya mewujudkan suasana ibarat filem John Woo. Malangnya, ia tidak akan menerima sebuah sekuel kerana studio yang membangunkannya sudah ditutup.

 

Deus Ex: Human Revolution – Director’s Cut

Harga promosi: RM5.69

Harga biasa: RM37.99

Permainan video Deus Ex yang dilancarkan pada tahun 2000 mendapat banyak pujian kerana ia memberikan kebebasan kepada pemain untuk mempengaruhi jalan cerita dan tingkah laku musuh dalam banyak cara yang menarik.

Deus Ex: Human Revolution (DX:HR) berjaya untuk mewujudkan semula kedua-dua kebebasan di atas. Setiap misi boleh diselesaikan dengan pelbagai cara mengikut teknik permainan anda.

DX:HR berlangsung pada masa depan di mana teknologi sudah mencapai tahap di mana manusia boleh memasangkan organ dan anggota badan baharu yang lebih kuat dan berkesan.

Watak utama yang dikawal pemain mempunyai pelbagai kemahiran menarik mengikut anggota badan robotik yang dipilih dan ditambah baik oleh pemain.

 

RUINER

Harga promosi: RM9.50

Harga biasa: RM38.00

Ruiner ialah sebuah permainan video tembakan yang dimain dari perspektif dari pemandangan atas. Permainannya agak pantas dan mencabar tetapi juga sangat memuaskan.

Jika anda suka permainan video yang pendek tempoh permainannya tetapi tidak membosankan, RUINER judul yang sesuai. Ia boleh dihabiskan dalam masa enam higga tujuh jam sahaja tetapi setiap minit menyeronokkan.

Dari segi aspek grafik, jalan cerita, dan sebagainya, judul ini tidak menonjolkan apa-apa yang menarik tetapi ia sudah mencukupi untuk membawa permainannya yang mengasyikkan.

RELATED NEWS

+