Pemain profesional FIFA 22, Muhammad Luqman Haziq Hajiman, 25, menyatakan bahawa dia dapat menyesuaikan dengan gaya permainan FIFA Online 4 meskipun secara teknikalnya permainan ini berbeza dengan FIFA 22 yang selalu dimainkannya.
“Masa yang saya ambil untuk menyesuaikan diri dengan FIFA Online 4 ini tidak lama, gameplay dia masih agak sama cuma kena sesuaikan dari segi taktikal disebabkan meta yang berada di FIFA 22 tidak sama dengan FIFA Online 4,” kata Luqman ketika ditemui di sidang media Sukan SEA 2021 di Bangunan MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Luqman juga mengatakan antara beberapa cabaran utama di dalam FIFA Online 4 ini adalah masalah berkaitan pelayan (server).
“Bagi FIFA Online 4 ini, kelebihan memang ada pada negara Thailand dan Vietnam kerana mereka mempunyai rangkaian pelayan mereka sendiri. Kami yang bermain di Malaysia ini mengalami masalah ping kerana terpaksa bermain menggunakan pelayan Thailand.
“Salah seorang pemain kami turut berhijrah ke negara Thailand semata-mata ingin mendapatkan rangkaian internet yang bagus,” katanya.
Pasukan eRimau menyasarkan pingat gangsa untuk kejohanan Sukan SEA 2021.
“Sasaran kami bagi sukan SEA ini adalah pingat gangsa. Secara peribadinya saya sememangnya menginginkan pingat emas namun selepas kami berbincang dan menimbangkan segala cabaran dan lawan kami pada Sukan SEA ini, kami membuat keputusan bahawa pingat gangsa menjadi sasaran minimum untuk eRimau,” kata Luqman.
Kejohanan Sukan SEA 2021 dijangka akan berlangsung pada 12 Mei hingga 23 Mei ini.
MESF akan menghantar seramai 47 atlet dan 9 staf bantuan bagi temasya kali ini.
Adakah pasukan eRimau berjaya membawa pingat gangsa untuk negara Malaysia? Sama-sama kita doakan buat kesemua atlet e-sukan yang bakal mewakili negara nanti.