Perak Ingin Kembangkan Potensi E-Sukan

E-sukan nampaknya tak tertumpu di Kuala Lumpur semata tapi turut mendapat perhatian kerajaan negeri terutamanya di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembagunan Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How. Sumber gambar: Farhan Najib, Malaymail.

Menurut laporan Peraktoday, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How berkata, penganjuran kejohanan e-sukan di Ipoh adalah dalam perancangan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri bercadang menganjurkan persidangan pertama seumpamanya di negeri ini berkaitan e-sukan.

“Persidangan ini bakal mengumpulkan komuniti terutamanya penggiat di belakang tabir sukan seperti penganjur acara, juruhebah, pengaturcara (programmer), jurulatih, kru dan agen,” katanya.

Beliau juga dalam peringkat terakhir mewujudkan majlis perundingan e-sukan untuk menarik penggiat sukan ini termasuk syarikat yang berminat dapat berkongsi pendapat dan nasihat untuk penganjuran acara ini.

How berkata, e-sukan tak sepatutnya diabaikan dan perlu diberi perhatian.

“Dalam kita membahaskan perkembangan sukan konvensional, kita tak sepatutnya mengabaikan sukan elektronik (e-sukan) yang semakin mendapat sambutan di peringkat global khususnya golongan belia.

“Perkembangan pesat e-sukan banyak didorong oleh minat yang mendalam membabitkan anak-anak muda, perkembangan internet dan teknologi serta pelaburan syarikat-syarikat permainan video yang telah membelanjakan jumlah peruntukan yang besar menaja pelbagai kejohanan seumpama ini,” katanya.

Beliau turut menambah, kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi mengembangkan potensi e-sukan di negeri itu.

Sumber: Peraktoday

TAGS

RELATED NEWS

+