PUBG Global Series Dibatalkan, Akan Diganti Kejohanan Digital

PUBG Corporation telah mengumumkan bahawa kejohanan PUBG Global Series (PGS) 2020 kini dibatalkan sepenuhnya kerana situasi COVID-19. Sebelum ini, syarikat tersebut menundakan PGS Berlin yang sepatutnya menjadi acara pertama PUBG Global Series untuk tahun ini.

21 pasukan yang telah melayakkan diri mereka untuk bertanding di PGS Berlin akan dibayar pampasan sebanyak US$20,000 (RM87,700). Lima pasukan terbaik di PUBG Champions League juga akan menerima jumlah yang sama.

Bagi pasukan-pasukan daripada kawasan Americas, US$120,000 (RM526,000) akan dibahagikan kepada 16 pasukan yang telah melayakkan diri ke pusingan kelayakan terakhir.

Berita baik di sini ialah e-sukan untuk PUBG tetap akan bersambung. PUBG Corporation akan menganjurkan PUBG Continental Series (PCS) yang akan berlangsung secara dalam talian sepenuhnya.

PCS menawarkan gabungan hadiah terkumpul sebanyak US$2.4 juta (RM10.5 juta). Ia akan dianjurkan di empat kawasan iaitu:

  • Asia (Korea, Jepun, Cina, dan Taiwan)
  • Asia Pasifik (Asia Tenggara dan Oceania)
  • Eropah
  • Amerika Utara

Setiap kejohanan peringkat kawasan akan mempunyai hadiah terkumpul berjumlah US$200,000 (RM877,000) dan akan berlangsung pada bulan Jun dan Ogos tahun ini. Walaubagaimanapun, bukan kesemua hadiah terkumpul tersebut akan diberikan kepada para pemenang.

Separuh daripada jumlah tersebut akan diberikan kepada perbadanan amal yang dipilih oleh pasukan yang menang. Lagi separuh akan diberikan kepada pasukan-pasukan mengikut prestasi mereka di kejohanan.

Pada bulan Mei, PUBG Corporation juga akan menganjurkan PCS Charity Showdown. Ia merupakan sebuah acara amal yang dilangsungkan untuk membantu usaha-usaha melawan COVID-19.

Sumber: PUBG Corporation

Foto: Eva Martinello

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+