Razer dedahkan kerusi gaming pertama mereka

Razer baru-baru ini mendedahkan produk-produk terbaru mereka di acara Razer Con dan produk yang paling menarik ialah Razer Iskur, kerusi gaming pertama daripada syarikat tersebut.

Min-Liang Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Razer, pernah menyatakan di media sosial bahawa beliau berpendapat kebanyakan kerusi gaming adalah produk yang tidak memberi kesan positif kepada postur badan seorang gamer.

Kenyataan tersebut berkait rapat dengan salah satu ciri utama Razer Iskur iaitu sokongan tulang belakang yang boleh dilaraskan sepenuhyna. Ia juga tidak menggunakan rekaan bucket seat yang selalunya digunakan oleh kerusi gaming lain.

Untuk pengetahuan pembaca, “Iskur” ialah nama tuhan Mesopotamia yang juga dikenali sebagai Hadad. Razer memilih nama tersebut kerana mereka ingin menyampaikan mesej kerusi ini ibarat sebuah takhta yang agung.

Kerusi ini mempunyai sistem penyelarasan sokongan tulang belakang 26 darjah untuk memperbaiki postur badan semasa sesi permainan video yang bertempoh lama. Ia juga akan mengurangkan kesakitan di bahagian tengah dan bawah tulang belakang.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kerusi ini, kami berbual dengan Jeevan Aurol, Pengurus Kanan Pemasaran Produk Razer.

“Kami memberi fokus terhadap kebolehulangan tinggi yang bermaksud kebolehan untuk mendapatkan posisi fizikal yang sama setiap kali anda bermain. Contohnya, postur badan kita pada waktu pagi selepas bangun tidur dan pada waktu kita bertenaga sepenuhnya adalah berbeza.

“Dengan adanya sokongan postur badan yang betul, anda boleh mendapatkan postur yang betul secara konsisten dan ini akan memastikan tulang belakang anda dijaga dengan baik.” kata beliau.

Lapisan luar kerusi ini menggunakan kulit sintetik pelbagai lapisan untuk tahan lebih lama. Penulis berharap ia tidak mula terkupas begitu cepat seperti banyak kerusi gaming yang menggunakan kulit PU.

Ciri-ciri lain Razer Iskur lebih kurang sama dengan kebanyakan kerusi gaming berkualiti tinggi di luar sana. Ia boleh menyokong berat sehingga 136KG dan ketinggian pengguna sehingga 190cm.

Kerusi ini boleh ditempah melalui laman web rasmi Razer dan harga rasmi di Malaysia ialah RM2,299. Apa pendapat anda? Adakah ini kerusi gaming setanding kerusi buatan jenama-jenama hebat lain seperti SecretLab dan Noblechairs?

Sumber rujukan: IGN SEA

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+