Streamlabs dituduh melakukan plagiat, ramai pihak mula bersuara

Berikutan tuduhan plagiat daripada jenama-jenama lain, Streamlabs mengumumkan mereka akan menggugurkan nama OBS daripada produk utama mereka, StreamlabsOBS (SLOBS).

Streamlabs pembekal perisian siaranlangsung mengumumkan melalui Twitter mereka langkah ini selepas ramai pihak mula menyatakan bahawa mereka keliru dan menuduh syarikat milik Logitech itu meniru nama-nama produk daripada syarikat lain seperti OBS, Lightstream dan Elgato.

Pihak OBS Project pula menyatakan, berikutan penggunaan nama ‘OBS’ di dalam produk Streamlabs, ia mengakibatkan beberapa isu kekeliruan oleh pengguna dan klien mereka yang lain. 

OBS atau Open Broadcast Software pula adalah perisian siaranlangsung open-source yang dibina oleh OBS Project sejak 2012 lagi. 

“Kami sering berdepan dengan pengguna yang keliru dan syarikat yang tidak faham perbezaan antara dua aplikasi ini,” kata OBS melalui Twitter mereka. 

Bahkan OBS juga pernah meminta Streamlabs untuk tidak menggunakan nama OBS kepada produk mereka.

“Sebelum pelancaran SLOBS, pihak Streamlabs hubungi kami untuk menggunakan nama OBS. Kami secara baik meminta mereka untuk tidak menggunakannya. Mereka tetap lakukannya dan diikuti pemfailan tanda dagang.

“Kami cuba menyelesaikan isu ini secara peribadi dan mereka tidak memberikan kerjasama,” tambah OBS.

Selain OBS, Lightstream dan Elgato juga menyatakan Streamlabs meniru mereka. Lightstream melalui Twitter, menuduh Streamlabs meniru rekaan laman web mereka.

Manakala pihak Elgato pula  menyatakan Streamlabs meniru produk Elgato Stream Deck mereka dengan “Streamlabs Stream Deck”.

Sumber: Dots Esports.

RELATED NEWS

+