Team Flash Komited, Melanjutkan Kontrak Pemain E-Sukan Mereka Sehingga 2020

Pemain e-sukan mempunyai masa depan cerah seperti yang diumumkan oleh organisasi e-sukan Singapura, Team Flash pada Selasa. Mereka mengumumkan kontrak jangka panjang bersama dua pemain hebat negara itu iaitu Amraan Gani dan Joseph Yeo. Kedua-dua mereka pernah mewakili Singapura bagi kejohanan EACC (FIFA Online 3) di Bangkok, Thailand.

Joseph (kiri) dan Amraan. Kredit gambar: Team Flash

Ini adalah bagi persiapan untuk menghadapi FIFA eWorld Cup Global Series Playoff di Amsterdam pada 1 hingga 3 Jun. Joseph yang juga pemain profesional sepenuh masa untuk Team Flash akan meneruskan kontraknya sehingga 2020 dan Amraan, siswa di Nanyang Technological University Maritime Studies akan meneruskan kontraknya sebagai pemain semi-professional sehingga 2019.

Pengasas Team Flash, Terence Ting berkata dalam satu kenyataan, “Kami berbangga untuk terus bersama Joseph dan Amraan dalam karier mereka dan kami komited untuk gilap bakat mereka. Untuk Joseph, ia adalah satu langkah besar sebagai pemain profesional sepenuh masa dan kami berharap semangatnya akan memberi keyakinan kepada pemain tempatan (Singapura) yang ingin berkecimpung dalam bidang ini,”

Team Flash juga bersedia untuk memberi komitmen sepenuhnya bagi mempersiapkan Amraan dan Joseph menghadapi World Championship dalam masa tiga tahun lagi. Selain itu, mereka juga mengumumkan kolaborasi bersama jenama Logitech dan DXRACER.

Semestinya dengan tawaran kontrak lebih setahun ini, Team Flash akan menguruskan pemain mereka dengan lebih baik termasuk mencari penajaan, insentif dan tanggungan kos perbelanjaan ke luar negara. Ini semua antara langkah penting yang menunjukkan Team Flash benar-benar komited untuk menggilap bakat anak muda masa kini sesuai dengan modul e-sukan yang diamalkan di luar negara.

Kepada Amraan dan Joseph, semoga berjaya!

RELATED NEWS

+