The Walking Dead: The Final Season Akan Disiapkan Sepenuhnya Oleh Skybound Games

Skybound Entertainment akan menyambung kembali pembangunan The Walking Dead: The Final Season sehingga ke episod terakhir daripada Telltale Games.

Baru-baru ini, kami melaporkan Telltale sedang mencari syarikat yang berminat untuk menyiapkan The Walking Dead: The Final Season dan bersama harapan untuk mengambil bekas staf Telltale bagi membantu penyiapan game berepisodik ini.

Pemilik Skybound dan pencipta komik The Walking Dead, Robert Kirkman mengumumkan studio Skybound akan mengambil alih pembangunan game dan melancarkan dua episod terakhir musim terakhir The Walking Dead ketika beliau berada di New York Comic Con bersempena panel rancangan television menggunakan nama yang sama minggu lepas.

Pada masa sama, Skybound juga mengumumkan di laman Twitter rasmi mereka: “Kami rasa SANGAT gembira kerana kami sudah mencapai kata sepakat dengan Telltale Games yang membolehkan Skybound untuk menyambung The Walking Dead: The Final Season. Jom kita memberikan kesudahan sebenar kepada cerita Clem! Lebih banyak info akan menyusul.”

Bagaikan sirih pulang ke gagangnya, Kirkman berkata melalui kenyataan rasminya, “Kami (Skybound) sudah berunding dengan Telltale Games untuk melihat pembangunan musim keempat game ini disiapkan sepenuhnya.”

Melalui bahagian pembangunan game yang baru dilancarkan pada April lepas, Skybound akan turut bekerjasama dengan pasukan asal dari Telltale untuk menyudahkan penceritaan Clementine dan AJ yang peminat mahukan.

Walaupun tidak banyak info masih lagi tidak didedahkan seperti tarikh pelancaran baru dan siapakah akan kembali untuk menyiapkan musim terakhir The Walking Dead, ini mungkin titik noktah terakhir untuk kisah sedih penutupan Telltale Games yang memecat hampir 90% pekerjanya tanpa pampasan sewajarnya diberikan kepada mereka.

Sumber: VG24/7

RELATED NEWS

+