Tom Holland kata jadi Nathan Drake sangat mencabar dalam filem Uncharted

Tom Holland amat terkenal dengan lakonannya sebagai Spider-Man di dalam dunia Marvel Cinematic Universe (MCU) dan dia juga memainkan watak Nathan Drake dari siri permainan Uncharted yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Menurut Holland, dia menghadapi cabaran apabila memainkan watak Nathan Drake kerana personalitinya sendiri. Seperti yang kita lihat, Tom Holland seorang yang agak pemalu dan berperwatakan muda dan naif, manakala watak Nathan Drake memerlukan seorang yang berkeyakinan tinggi dan sempoi.

“Salah satu perkara yang paling sukar tentang watak ini ialah memainkan ‘lelaki yang sempoi,” kata Holland kepada The Hollywood Reporter dalam temu bual baru-baru ini.

“Dari dahulu lagi, saya selalu memainkan watak orang luar yang tidak mempunyai ramai kawan dan bukan kanak-kanak yang cool. Jadi Nathan Drake adalah sebaliknya, dan itu adalah sesuatu yang saya mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dan berasa selesa melakukan,”

Jadual Penggambaran

Satu lagi cabaran yang agak sukar adalah jadual penggambaran Tom Holland.

Memandangkan Holland juga bintang utama filem Spider-Man: No Way Home, dia terlibat dalam penggambaran kedua-dua filem yang berlangsung secara berturut-turut.

Menurut Holland, terdapat beberapa kejadian di mana jadual penggambaran terpaksa ditangguhkan kerana Spider-Man adalah projek yang amat besar.

“Saya tahu betapa besarnya filem Spider-Man, jadi saya sangat berhati-hati untuk tidak kehabisan tenaga. Ia amat sukar,” kata Holland.

“Ia adalah kerja yang sukar selama sembilan bulan, tetapi jelas sekali, dengan kejayaan Spider-Man, ia amat berbaloi. Dan dengan keseronokan dan gembar-gembur yang Uncharted peroleh, nampaknya kedua-duanya sangat, sangat berbaloi.”

Filem yang diadaptasikan oleh permainan hasil Naughty Dog ini akan dilancarkan di pawagam pada 17 Februari akan datang.

Sumber rujukan: Hollywood Reporter

RELATED NEWS

+