Game Pertama Metronomik, No Straight Roads Akan Dilancarkan Pada Tahun 2019 Untuk PC & PS4

No Straight Roads adalah sebuah game berbentuk aksi ritma (action rhythm) sedang dibangunkan oleh studio game tempatan kita, Metronomik.

Game ini diarahkan oleh Wan Hazmer, seorang bekas lead game designer untuk Final Fantasy XV bersama Daim Dziauddin yang pernah bekerja sebagai ilustrator untuk Street Fighter V.

Dalam game ini, korang akan bermain sebagai sebuah kugiran indie bertungkus lumus untuk menjatuhkan empayar EDM. No Straight Roads menggabungkan permainan visual dan audio menarik seperti korang bermain Devil May Cry atau Nier Automata sambil berpandukan irama muzik elektronik (EDM).

Mayday lebih fokus kepada serangan berbanding pertahanan

Menurut Wan Hazmer, No Straight Roads memerlukan pemain peka terhadap latar belakang muzik kerana bunyi muzik mencakupi combat dan gameplay tapi tidak memaksa pemain untuk serang mengikut tempoh muzik itu. “Cara untuk menyerang akan datang secara semulajadi mengikut cara pemain tersendiri sebaik sahaja pemain mendengar muzik,” katanya.

Baru-baru ini, Metronomik baru sahaja mempamerkan No Straight Roads buat kali pertama di Tokyo Game Show 2018 (TGS) yang berlangsung pada 20 ke 23 September lepas. Game indie hasil anak Malaysia ini berjaya menarik ramai perhatian pihak antarabangsa termasuk mendapat pencalonan indie game terbaik daripada dua portal video game ternama di Jepun iaitu 4gamer dan Dengeki Online.

Saksikan tutorial menampilkan Mayday, pemain gitar dan Zeke, pemain dram bergabung instrumen untuk mengumpul, menukar prop dan menembak ‘peluru’ muzik ke arah musuh. Video ini dirakam oleh portal gaming dari Taiwan.

Berkenaan fasa pembangunan No Straight Roads, Wan Hazmer menjawab, “Kami masih lagi giat bangunkan mengikut tahap bos. Setakat ini, kami sedang berada dalam 15 peratus tapi proses ini akan menjadi lebih pantas apabila kita siap menguji semua sistem dan mekanik dalam game ini.”

Apabila ditanyakan jika No Straight Roads bakal ada online multiplayer atau tidak, beliau menjawab, “Sayang sekali, No Straight Roads dibangunkan khas untuk mod single-player sahaja dan tiada elemen multiplayer kerana kami mempunyai masa setahun sahaja untuk bangunkan game ini.

“Untuk membina online multiplayer, ini boleh mendatangkan lebih banyak cabaran dan mungkin menolak fasa pembangunan lebih lama. Apa yang terbaik kami boleh lakukan adalah memasukkan mod local multiplayer atau co-op yang mana dua pemain boleh mengawal Mayday dan Zeke dalam satu masa yang sama,” kata beliau.

Zeke lebih khusus kepada pertahanan

Bercakap mengenai mod local multiplayer, Wan Hazmer juga mengacah kemungkinan No Straight Roads bakal boleh dimainkan di Nintendo Switch tetapi ini masih lagi dalam perancangan.

Kepada yang berminat untuk mencuba game irama dan lagu ini, bos Metronomik mengesahkan korang boleh bermain demo No Straight Roads di Level Up 2018 Expo pada 30 dan 31 Oktober ini!

No Straight Roads bakal dilancarkan pada tempoh musim bunga iaitu antara April dan Mei 2019 di PC dan PS4.

Untuk ketahui lebih lanjut tentang No Straight Roads, layari laman Facebook Metronomik di sini.

RELATED NEWS

+