Pernah tak korang terbayang untuk meneroka dan menangkap pelbagai spesies Pokémon sambil menikmati keindahan flora dan fauna di Malaysia?
Seorang anak Malaysia, Mokessh Kannah mencipta game Pokémon tersendiri dengan mengambil reka bentuk peta Malaysia. Dia kongsikan rekaannya melalui Reddit Pokémon yang mana menerima banyak reaksi positif daripada peminat Pokémon dari seluruh dunia.
Malaysia di mata dunia Pokémon
Mokessh mengambil masa setahun untuk membawakan Malaysia di mata dunia Pokémon dengan menggunakan RPG Maker XP. Penampilan game ini kelihatan seperti Pokémon Ruby and Sapphire, Diamond and Pearl dan Black and White. Game ini turut mempunyai Pokémon dari generasi 1 sehingga ke 5.
“Saya buat peta itu dengan memuat turun gambar peta Malaysia dengan latar belakang telus. Kemudian, saya warnakan peta ini mengikut reka bentuk Pokémon asal dan meletakkan lokasi-lokasi penting Pokémon seperti bandar (town), jalan (route) dan sebagainya dengan menggunakan Adobe Photoshop,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.
Bukan itu sahaja, nama-nama lokasi akan merujuk kepada tempat-tempat menarik di Malaysia dan nama non-playable character (NPC) berdasarkan nama orang Malaysia. Mokessh sedar Malaysia ialah negara cuaca lembab dan panas sepanjang tahun yang mana berhampiran dengan garisan Khatulistiwa. Namun, dia suntikkan sedikit kelainan cuaca dalam game ini iaitu menambah gunung berapi dan gua ais bagi mempersembahkan kepelbagaian jenis Pokémon seperti api dan ais.
Game Pokémon juga tidak lengkap tanpa gim. Lazimnya, lokasi gim dalam Pokémon asal terletak di kawasan bandar tetapi Mokessh membuat keputusan bagi meletakkan gim mengikut jenis-jenis Pokémon seperti di kawasan gunung berapi dan gua ais. “Sebagai contoh, ketua gim di gunung berapi itu adalah jenis api manakala ketua gim di hutan pula adalah jenis rumput/serangga,” jelasnya.
Mokessh memberitahu game ini belum mempunyai judul kerana dia masih lagi memikirkan jalan cerita utama untuk game ciptannya tetapi kebarangkalian besar, cerita tentunya akan berkait-paut dengan Malaysia yang mana semua pemain akan bermula di Seremban, Negeri Sembilan kerana itu adalah tempat kelahiran Mokessh.
Bagaimana boleh mencipta game Pokémon sendiri?
Mokessh kini sedang menyambung ijazah sarjana muda dalam kursus Kejuruteraan Sains di University of Munich, Jerman. “Saya belajar di sini selama 2 tahun dan apa yang paling mengingatkan saya tentang Malaysia adalah makanan. Makanan Malaysia tetap paling terbaik,” kata Mokessh dalam emel.
Pelajar berusia 22 tahun ini masih lagi tidak dapat melupakan pengalaman Pokémon pertamanya. “Saya mula bermain Pokémon semasa saya berusia 8 tahun. Game Pokémon pertama saya main adalah Pokémon Crystal di Gameboy,” katanya.
Apabila ditanyakan tentang inspirasi untuk rekaan ini, Pokémon ROM hacks dan game direka sendiri oleh peminat Pokémon menjadi sumber inspirasinya. Malah, dia sebenarnya rasa kagum dengan hasil-hasil game Pokémon yang direka oleh peminat dan ini membangkitkan semangatnya untuk reka game sendiri.
Pada mulanya, Mokessh cuba bangunkan game Pokémon menggunakan perisian ROM tetapi perisian ini memberi pilihan pengubahsuaian terhad dan susah untuk dikendalikan. Akhirnya, dia beli RPG Maker XP di Steam dengan alat reka Pokémon Essentials dan bangunkan game melalui video-video tutorial dia belajar di YouTube
Menurut Mokessh, cabaran terbesar dia hadapi adalah untuk menggabungkan sebanyak mungkin ciri-ciri permainan dan memastikan ia semuanya berjalan dengan lancar. Selain aspek teknikal, dia juga hasilkan peta dan karakter secara sendiri melalui Photoshop yang mana dia luangkan masa selama beberapa tahun untuk menguasainya.
Nota: Pokémon ROM hacks merujuk kepada game Pokémon yang dibawa masuk sebagai fail ingatan baca sahaja atau read-only memory (ROM) ke dalam komputer dan boleh dimainkan melalui emulator mengikut platform permainan seperti VisualBoy Advance (Game Boy) atau DeSmuME (Nintendo DS).
Tak takut kena saman oleh Nintendo ke?
Buat pengetahuan korang, Nintendo mempunyai sejarah panjang dalam memberhentikan projek-projek game ciptaan peminat. Antara projek Pokémon popular dalam kalangan peminat yang dikenakan tindakan saman adalah Pokénet iaitu sebuah game online Pokémon ditutup pada tahun 2010.
Kemudian pada tahun 2018, Pokémon Essentials iaitu sebuah alat lengkap dengan koleksi peta, tileset dan muzik yang memudahkan pembangun (termasuk Mokessh sendiri) untuk mereka cipta game Pokémon sendiri turut diberhentikan oleh Nintendo.
Menjawab kepada persoalan ini, Mokessh membalas, “Sebenarnya, projek ini dimulakan bersama rakan-rakan saya dan hanya berkongsi sesama sendiri. Tetapi selepas pos Reddit itu meletup, saya mungkin berkongsi fail game ini secara online dan ia akan tersedia untuk PC sahaja.
“Saya tidak begitu pasti untuk menghasilkan laman sesawang khas untuk game ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang kerana saya faham Nintendo agak agresif dengan game buatan peminat.”
Walaubagaiamanapun, ramai orang meluahkan rasa keterujaan untuk bermain game Pokémon buatan Mokessh melalui komen-komen di Reddit. Para peminat Pokémon di Malaysia, adakah korang teringin untuk main game ini? Kongsikan pandangan korang bersama kami!
Sumber gambar daripada Mokessh Kannah.
Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.