MekaRoyale Online: Gabungan Battle Royale & Mecha Dihasilkan Di Malaysia

Memang tidak dinafikan genre Battle Royale telah mencetuskan fenomena gergasi dalam industri video game dan sangat popular dalam kalangan pemain di seluruh dunia setelah kejayaan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) dan Fortnite masih lagi terus popular dalam kalangan pemain.

Ini sekaligus memberikan inspirasi kepada seorang anak tempatan, Amarul Natenan dari Illogical Games untuk membangunkan game battle royale dengan kelainan tersendiri. MekaRoyale Online adalah sebuah game battle royale mobile yang menampilkan kebolehan untuk mengendalikan MEKA atau robot dalam perlawanan tetapi robot itu bukan milik kekal pemain kerana satu kekalahan boleh mengakibatkan MEKA hancur buat selama-lamanya.

Kami berbual bersama Amarul tentang bagaimana terhasilnya MekaRoyale Online dan kelainannya yang membezakan game ini daripada game battle royale yang lain.

Tuah MekaRoyale Online

MekaRoyale Online bukanlah ilham pertama daripada Amarul. Melalui Illogical Games yang ditubuhkan pada tahun 2011, dia sendiri telah menghasilkan 28 game khususnya dalam platform Android dan iOS.

“Kebanyakkan game mobile saya hasilkan adalah berbentuk kasual seperti tap-tap skrin atau susun-susun kotak. Saya suka buat game simple kerana ia cepat siap dan memudahkan saya untuk bangunkan game lain dalam tempoh setahun serta untuk mengumpulkan pendapatan dalam masa setahun.

“Ini juga adalah salah satu cara untuk mempertingkatkan kebolehan saya untuk membangunkan game. Sepanjang dari tahun 2011 sehingga 2018, saya selalu mempelajari perkara baru dan memperbaiki kelemahan saya untuk bangunkan sesebuah game,” kata Amarul.

Namun, Amarul tidak berasa cukup dengan penghasilan game kasual sahaja. Dia mengorak langkah baru untuk menghasilkan game berbentuk multiplayer pula. Maka, bermulanya pembangunan MekaRoyale Online sejak dari April tahun lepas. Kemudian, Amarul mengambil keputusan untuk membentangkan MekaRoyale Online separa siap ke pertandingan Intellectual Property Creators Challenge (IPCC) 2018 dianjurkan oleh MDEC dalam kategori ‘Commercial Ready Game’ sekitar bulan September.

Tersenyum lebar: Amarul (tengah) menerima mock cheque semasa di Level Up KL 2018 pada Oktober tahun lepas.

Ini bukanlah IPCC pertama yang disertai oleh Amarul, malah dia telah memasuki pertandingan sama sebanyak tiga kali tetapi tidak berjaya memenangi geran tunai yang ditawarkan. Namun, MekaRoyale Online membawa tuah baru apabila Amarul tergolong dalam lima pemenang yang berjaya membawa pulang geran bernilai RM50,000 semasa diumumkan di Level Up KL 2018.

Amarul berkongsi saat kemenangan, “Saya rasa tidak percaya dan seolah-olah dibuai mimpi sehinggakan saya dilanda perasaan gemuruh sebab takut salah dengar sebab pengacara majlis tidak mengumumkan nama saya tetapi memanggil nama game dan studio saya. Saya betul-betul tidak sangka saya terima geran ini dalam ratusan penyertaan.”

Apa itu MekaRoyale Online?

MekaRoyale Online adalah sebuah game berunsurkan battle royale yang menggabungkan mecha dalam perspektif kamera top-down seperti korang lihat dalam Mobile Legends dan Dota 2.

Apabila ditanyakan tentang inspirasi terbesar Amarul untuk MekaRoyale Online, dia merujuk kepada siri Titanfall iaitu sebuah game multiplayer first-person shooter yang membolehkan pemain mengawal dan bertempur menggunakan robot.

Dalam game ini, seramai 12 pemain dipanggil sebagai ‘pilot’ memasuki arena MekaRoyale dan pemain yang berjaya bertahan daripada disingkirkan di akhir perlawanan berpeluang untuk membeli MEKA dengan menggunakan duit kemenangan iaitu ‘credit’ yang diperoleh selepas selesai perlawanan.

Bagi pemain yang tewas, mereka tidak hilang apa-apa tetapi berita buruk kepada MEKA kerana ia lesap selama-lamanya dalam kekalahan.

Lebih dari sekadar ‘last man standing’

Korang boleh membeli MEKA selepas habis satu perlawanan. Harga MEKA juga meningkat jika MEKA musnah dalam perlawanan.

Apa yang menarik tentang MekaRoyale Online ini adalah pengenalan sistem progression. MEKA boleh dibeli menggunakan credit dan membeli upgrade bagi mengubahsuai pelbagai bahagian MEKA seperti menukarkan mesingan kepada senapang laser asalkan korang sentiasa menang setiap perlawanan. Untuk pilot pula, korang menerima XP sejurus selepas habis perlawanan dan XP boleh digunakan untuk membeli skills.

Cabaran terbesar MekaRoyale bagi pemain adalah dorongan untuk mengekalkan kemenangan bagi mengelakkan kehilangan segala kerja keras mereka termasuk MEKA dan credit. Dalam erti kata lain, pilot MEKA ada taruhan lebih besar berbanding pilot biasa.

Mesti korang tertanya-tanya bagaimana dengan pemain yang tiada MEKA untuk menang game ini? Menurut Amarul, pemain tanpa MEKA boleh menggunakan pelbagai jenis senjata yang bertaburan di sekeliling peta dan boleh menyarung Exosuit untuk mengalahkan MEKA.

Pew pew

Salah satu ciri utama game battle royale adalah perasaan berdebar-debar apabila korang perlu bertahan sehingga ke akhir perlawanan tetapi kebanyakkan pemain ‘camping’ iaitu tunggu di satu tempat dalam peta besar daripada kena dibunuh. PUBG memperkenalkan satu bulatan mengecil untuk memaksa pemain berhadapan antara satu sama lain manakala pemain terkeluar dari bulatan itu akan terus tersingkir.

Mengikut prinsip yang sama, Amarul menggantikan kawasan bulatan mengecil dengan kehadiran sebuah kapal terbang yang akan muncul selepas beberapa minit dalam perlawanan jika masih lagi tiada pemain yang menang.

Bersiap sedia ke tarikh pelancaran

Salah satu operasi dalam misi single-player

Amarul juga menyelitkan misi single-player yang memberikan credit sekaligus memudahkan pemain untuk kumpul credit tetapi kadar credit diberikan lebih perlahan berbanding mod online. Oleh itu, semua pilot berpeluang untuk jadi MEKA. 

Game ini juga tidak menyediakan pembelian credit menggunakan duit sebenar. Sebaliknya, pembelian barangan dalam game atau microtransaction hanya terhad kepada barangan kosmetik seperti skin dan tidak akan menjejaskan progression pemain.

Kendalikan MEKA sekarang dalam MekaRoyale Online iaitu boleh dimainkan secara percuma yang boleh didapati melalui Google Play Store dan App Store pada 22 Januari 2019.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang game ini, korang boleh layari laman Facebook MekaRoyale Online.

 

RELATED NEWS

+