5 Kaedah Untuk Menceburkan Diri Sebagai Game Developer Di Malaysia

Follow kami di WhatsApp , Instagram, and TikTok MyGameOn, jadi antara yang terpantas untuk dapatkan berita e-sukan, gaming dan anime!

Kebanyakkan orang berfikir membangunkan sebuah game adalah mudah seperti duduk bersahaja dan menekan butang di komputer. Namun, ia adalah jauh panggang dari api. Buat pengetahuan korang, industri game kini sudah mencecah hampir USD$180 billion dan media interaktif ini mengaut keuntungan lebih tinggi dari industri perfileman dan penerbitan.

Malaysia melahirkan ramai bakat kreatif dalam penghasilan game seperti Wan Hazmer selaku bekas game designer Final Fantasy XV, Mufizal Mokhtar, bekas art director untuk siri Assassin’s Creed dan ramai game developer daripada studio tempatan seperti Metronomik, Studio Kamii, Illogical Games, dan Magnus Games Studio. 

Pengasas bersama Magnus Games Studio, DC Gan berkongsi pengalaman membangunkan game terulung beliau, Re:Legend iaitu sebuah game simulasi role-playing game (RPG) bersama pengunjung Kejohanan E-Sukan Kampus di UiTM Lendu, Melaka baru-baru ini.

Dalam pembangunan Re:Legend, DC berkongsi beliau mula membangunkan bersama adiknya, Welson Gan dan kini pasukan mereka telah berkembang dari 6 pembangun ke 30 pembangun yang terdiri daripada bakat pengaturcaraan, rekaan, seni visual di studio bertempat di Malaysia.

Stardew Valley dan Mobile Legends semunya bermula dari bawah

Berbeza dari studio yang menghasilkan game triple A seperti God of War atau Call of Duty, game seperti itu memerlukan ramai tenaga kerja iaitu kira-kira 300 pembangun dalam sesuatu masa. Re:Legend dikategorikan sebagai game indie kerana game ini dihasilkan kurang daripada 100 pembangun.

DC memetik contoh game indie diminati oleh ramai pemain seperti game simulasi, Stardew Valley dan game mobile, Flappy Bird hanya dihasilkan oleh seorang pembangun sahaja manakala game popular seperti Candy Crush dan Mobile Legends semuanya bermula dari bawah.

Sedia dan rancang pembangunan game secara teliti

Untuk membangunkan game, DC amat menitikberatkan penyediaan game design document (GDD) untuk menyenaraikan perincian-perincian penting untuk membangunkan game seperti enjin bersesuaian dan jenis game yang mahu dihasilkan seperti platform permainan sama ada PC atau mobile. Ini adalah kerana kedua-dua platform ini mempunyai audiens berlainan.

Sejurus selepas itu, sesi brainstorm diadakan untuk memastikan ahli pasukan pembangunan faham akan visi dan misi. Menurut DC, setiap ahli mempunyai kebolehan mereka tersendiri sama ada dalam pengaturcaraan, rekaan, atau seni visual keseluruhan game dan seorang ketua pasukan harus menyatupadukan semua bagi menghasilkan game yang menepati ciri dan kualiti korang mahukan.

Cari dana untuk melancarkan pembangunan projek

Walaubagaimanapun, pembiayaan juga faktor penting untuk menampung pembangunan projek game korang. DC berkata ia lebih selamat untuk mengekalkan pasukan kecil sebelum korang membuat keputusan untuk rekrut ahli pembangun baru.

Kini, DC berpendapat ia lebih mudah untuk mencari dana kerana keterbukaan kerajaan tempatan seperti pemberian geran IPCC dikelolai oleh MDEC dan komuniti luar negara menyokong pembangunan game melalui portal crowdfunding iaitu satu saluran untuk orang ramai menyumbang dana seperti Kickstarter, Indiegogo, Patreon dan banyak lagi. 

Bagi pengetahuan korang, Magnus Games Studio lancarkan kempen Kickstarter dengan sasaran mencapai USD$70,000 untuk Re:Legend dan berjaya mengaut sumbangan orang ramai paling tinggi dalam rantau Asia Tenggara iaitu sebanyak USD630,700.

Kepentingan pemasaran dan sokongan pemain

Gambar dari Re:Legend, ciptaan Magnus Games Studio

Idea asal dan semangat kobar-kobar untuk bangunkan game sangat diperlukan tetapi pembangunan game tidaklah semudah bermain game. “Kami di sini membangunkan game yang dinikmati oleh semua pemain supaya dapat menarik perhatian mereka untuk kekal dan tetap menyokong game walau apa-apa pun,” kata DC.

Walaupun Re:Legend masih dalam fasa pembangunan, DC berkata pemasaran game adalah aspek paling penting dalam tempoh pembangunan game. Oleh sebab itu, beliau menerangkan ia amat mustahak untuk menghasilkan game yang memberi pengalaman terbaik dan menepati citarasa pemain.

Melalui cara pembangunan komuniti, DC menerangkan terdapat game termasuk Re:Legend menempuh beberapa fasa percubaan seperti beta atau alpha untuk mendapatkan maklumbalas dari pemain terhadap game korang.

Beliau bercadang untuk menghasilkan bilik perbincangan Discord, forum Steam dan Reddit bagi mengumpul maklumbalas baik mahupun buruk. Setiap maklumbalas diperlukan bagi menghasilkan game yang seimbang untuk semua jenis pemain dan pembangun harus mengambil pendekatan proaktif untuk mendengar tindak balas pemain.

DC menyeru kepada pembangun game untuk terus komited dan sentiasa berdedikasi untuk mengolah game menjadi lebih bagus meskipun game korang telah dilancarkan. 

Re:Legend termasuk dalam senarai game buatan Malaysia yang korang harus main pada tahun ini. Re:Legend dijangka akan dikeluarkan pada tahun ini di PC, PS4, Xbox One dan Nintendo Switch.

Terima kasih kepada XPAX, Kitamen, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Predator, Sades, Moonton E-Project, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Malaysia (ESM), Cadbury, Todak, Boost dan Mountain Dew bagi menjayakan #XPAXKEK.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+