Mobile Legends: ‘Kami Memang Mengikut Peraturan Dari Pihak Penganjur,’ – Pengurus MCB, Anas Mohd Yusof

“Kami mengikut peraturan, bukan buat ikut suka,” kata Pengurus Mystic Burden (MCB), Anas Mohd Yusof berhubung dakwaan yang mengatakan pasukannya tidak telus dalam pemilihan pemain untuk kejohanan Liga Profesional Moile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura Musim Kedua.

Dakwaan di Facebook mengatakan Mohd Haqqani Jaffar atau 2ez4jepv yang melompat pasukan daripada Everyday Gaming (pasukan yang bertanding di kelayakan MPL) ke skuad MCB beberapa hari lepas adalah tindakan yang kurang tepat.

Hal ini menimbulkan tanda tanya jika 2ez4jepv layak untuk tukar pasukan walaupun gagal dalam pusingan kelayakan.

“Keputusan Haqqani untuk memasuki pasukan adalah dalam pengetahuan saya. Sebelum ini Ashi (ex-MCB) memberitahu dia ingin keluar. Jadi kami kehilangan seorang pemain yang sangat berbakat.

“Kemudian di Facebook MCB, kami mengumumkan pencarian ahli baru untuk bersedia dalam cabaran musim liga. Ini sebenarnya tak salah dari segi peraturan kerana pihak penganjur sendiri bersetuju untuk MCB mencari ahli baru sebelum roster lock pada 10/7,” kata Anas.

Menurut Anas, Haqqani melalui ujian kelayakan dan bukannya dipilih atas dasar ‘ada kabel’ atau pilih kasih.

“Setiap pasukan inginkan yang terbaik. Apatah lagi dah tiba musim liga tak lama lagi. Jep dan rakannya, Feekz dipilih selepas menjalani tryout bersama ramai lagi ahli lain yang memohon di Facebook. Bukan kami pilih ikut suka.

“Ini termasuklah menilai role hero, chemistry dan macam-macam lagi faktor perlu diambil kira. Selepas membuat penilaian, mereka berdua adalah calon terbaik,” katanya.

Anas juga menegaskan yang peraturan diberitahu kepada pasukan mendapat jemputan terus dan bukannya kepada umum.

“Peraturan roster lock diberitahu sendiri penganjur kepada kami (pasukan mendapat jemputan terus), jadi kami tak menyalahi atau melanggar peraturan. Sebagai pasukan profesional, sudah tentu kami menjaga integriti dan bersikap profesional dalam hal ini,” katanya.

Anas berkata, bagaimanapun keputusan 2ez4jepv dan Feekz untuk berada dalam pasukan belum lagi final dan mereka masih mempertimbangkannya sebelum berakhir roster lock.

Pihak penganjur, eGG Network pula belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

BACA: “Pihak Penganjur Perlu Lebih Teliti Dalam Perkara Ini,” – Pengurus FV MyA, Benny Teh

RELATED NEWS

+