Sukan SEA 2019: “Kita Sasar Dua Emas, DOTA2 Dan Hearthstone,” – Hisham

Setiausaha Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM), Hisham Darus menyasarkan untuk meraih dua pingat emas bagi kategori e-sukan yang akan dipertandingkan di Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

“Kita meletakkan sasaran agak tinggi untuk kedua permainan ini kerana ada pemain-pemain berpotensi besar.

“Ini bukan misi peribadi tapi untuk mengharumkan nama negara. Jadi kita perlu yakin mereka (wakil Malaysia) dapat menyumbangkan pingat emas,” katanya kepada pemberita di sesi taklimat mengenai bootcamp Sukan SEA 2019 di The Pantheon, Subang Jaya, Selangor.

Hisham berkata, beliau menaruh keyakinan terhadap pemain hebat Hearthstone seperti Hee Zi Song (Lalasong) yang pernah mewakili Malaysia untuk kejohanan ternama (WESG) namun pada masa yang sama tidak menidakkan peluang pemain yang lain.

Saringan akhir untuk senarai atlet yang akan ke Sukan SEA 2019 akan bermula pada 1 Ogos hingga 15 Ogos ini menyaksikan seramai lebih 50 atlet akan disenarai pendek kepada 21 atlet saja.

Jurulatih akan memberikan merit dan menilai atlet e-sukan mana yang layak untuk menyertai temasya dwi-tahunan itu berdasarkan prestasi dan lain-lain kriteria yang diambil kira.

Temasya itu akan bermula pada November ini dan berakhir pada Disember di Filipina.

Bagi kategori e-sukan, ia akan dipertandingkan bersama sukan bola keranjang 3×3 di Fil Oil Arena, Manila, Filipina. Sebanyak 6 permainan dipertandingkan iaitu Arena of Valor (AOV), Mobile Legends, Hearthstone, Dota 2, Tekken 7 dan Starcraft II.

Peringkat kumpulan (group stage) akan bermula pada 5 Disember dan Grand Final pada 9 dan 10 Disember.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+