Adam SparTankeR tidak bersama Facebook Gaming lagi

Adam Faiz, atau lebih dikenali sebagai SparTankeR, adalah seorang pencipta kandungan yang sudah lama berkecimpung dalam dunia e-sukan.

Dia juga pernah dijemput sebagai pengulas bersama pengulas-pengulas terkemuka seperti Ikuto untuk beberapa acara e-sukan di negara. Antara acara-acara e-sukan yang pernah diulas olehnya adalah Yoodo Kejohanan E-Sukan Kampus 2020, MPL dan ServerDNA.

Kini, SparTankeR mengumumkan keputusannya untuk tidak menyambung kontrak bersama Facebook Gaming dalam sebuah video yang dikongsikan di laman Facebooknya.

Salah satu sebab mengapa dia tidak meneruskan kontrak ini adalah kerana kekurangan masa untuk diri sendiri. Menurut Adam, dia tidak mempunyai masa untuk melawat keluarganya di Kedah ataupun meluangkan masa bersama rakan-rakannya. 

Tambahan pula, SparTankeR juga mengetengahkan isu bahawa ramai, jika tidak semua, penstrim yang bersama Facebook Gaming sudah diturun taraf atau digugurkan dari program itu.

Susulan itu, Adam berpesan bahawa melakukan streaming sebagai pekerjaaan dan menerima gaji tetap setiap bulan bukanlah perkara yang normal. Dia juga mengingatkan jangan terlalu selesa kerana ‘pekerjaan’ ini tidak akan bertahan selama-lamanya dan pasti akan tamat.

Pendapatan Melalui Penstriman

Adam berkongsikan dalam videonya sumber pendapatan utama penstrim yang sebenar. 

Antara sumber pendapatan seorang penstrim adalah sumbangan dari penonton. Adam menyatakan kebimbangannya tentang set minda penonton yang tidak pernah menyumbang Stars atau Bits untuk penstrim kegemaran mereka kerana itu bukan atau belum lagi budaya kita.

Menurut Adam, ia seperti menonton para buskers di tepi jalan, jika kita terhibur maka kita pasti akan menyumbang sedikit wang bagi kumpulan buskers itu.

Selain itu, Adam juga mengutarakan sebuah lagi sumber pendapatan seorang penstrim iaitu melalui penaja. Dengan konsep penaja, penstrim perlu mendekati syarikat-syarikat dan menawarkan kelebihan siaran seorang penstrim itu boleh berikan kepada syarikat itu. Dari situ, penstim boleh berbincang tentang kontrak tajaan yang akan menjadi sumber pendapatan seorang penstrim.

Akhir sekali, Adam berkata bahawa streaming ini adalah sebuah bisnes dan penstrim perlu mewujudkan sumber pendapatan sendiri.

Walaupun Adam sudah tidak bersama Facebook Gaming, dia akan tetap terus menyiarkan kandungan sekali-sekala, tetapi mungkin tidak sekerap dahulu, menurutnya.

Anda boleh melayari laman rasmi Adam Faiz atau SparTankeR di Facebook atau YouTube.

Sumber rujukan: Facebook

RELATED NEWS

+