Pengulas permainan video bola sepak FIFA, Aiman Roshizam atau lebih dikenali sebagai Sekaiichi kini sah menjadi pengulas rasmi untuk satu Liga Super musim pertama dianjurkan eMalaysian League.
Liga itu akan berlangsung selama empat bulan menggunakan format Pro Club (11 lawan 11). Bagi Aiman, peluang ini bagai bulan jatuh ke riba.
“Bagi saya, tawaran untuk mengulas pada musim COVID-19 ini boleh dikatakan satu peluang yang besar lebih-lebih lagi apabila Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dibatalkan.
“Alhamdulillah, rezeki masih ada dalam bidang pengulasan dan ia terjamin kerana pertandingan ini akan berlangsung berterusan selama empat bulan,” katanya.
Menurut Aiman, eML ini adalah liga yang baru dan satu usaha baik dianjurkan oleh komuniti terdiri daripada sekumpulan pemain Pro Club itu sendiri.
“Apa yang saya nampak ialah penganjuran dijalankan secara teratur dengan memahami hal ehwal pertandingan dan pemain.
“Saya juga teruja bekerjasama dengan komuniti yang menaruh minat tinggi untuk perkasakan landskap Pro Club FIFA di Malaysia,” katanya .