Siapa tidak kenal Sunfrost? Pemilik nama Syed Fitri Abharshah ini sememangnya berbakat dan dikenali dengan pesonanya sebagai pengulas yang handal berpantun di Liga Profesional Mobile Legends (MPL MY).
Sebagai pengulas, Sunfrost tidak henti menyajikan pengulasan bertenaga sehingga ada yang menyamakannya dengan Pak Pulung dari Indonesia. ‘Pak Pulung’ versi Malaysia, kata mereka.
Dari pengulasan di MPL MY sehinggalah ke kejohanan siri M, nyata anak muda berusia 21 tahun ini tidak ingin berada di zon selesa sebaliknya mencabar diri menggalas tugas Ketua Jurulatih bagi pasukan DXOriginz sempena Liga Akademi MLBB Malaysia (MAL MY) yang akan memulakan musim pertama, Isnin ini.
“Sebelum ini saya pernah menjadi Penganalisis dan Pembantu Jurulatih di Team Lunatix dan MAB serta beberapa pasukan lain, dengan niat untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang kejurulatihan.
“Jadi dengan berbekalkan apa yang sudah dipelajari, saya merasakan saya sudah mampu untuk mengetuai sebuah pasukan Tier-2 Malaysia. Dengan posisi Ketua Jurulatih ini juga, saya berniat untuk mengubah corak strategi yang digunakan oleh pasukan-pasukan Malaysia,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.
View this post on Instagram
Sunfrost berkata, di sebalik kesibukan menjadi jurulatih, ia tidak mengganggu jadualnya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang pengulasan. Malah katanya, walau jadual padat namun ia adalah pembakar semangat untuk bekerja kuat.
“Sememangnya saya akan meneruskan mengulas kejohanan MLBB seperti biasa memandangkan MAL diadakan pada hari bekerja sementara kebanyakan kejohanan MLBB termasuklah MPL berlangsung pada hari minggu.
“Jadi saya tidak mempunyai terlalu banyak masalah, sekadar perlu bekerja lebih kuat sepanjang minggu. Akan tetapi, ada kemungkinan untuk saya berehat daripada arena pengulasan sekiranya layak ke MPL musim hadapan,” katanya.
View this post on Instagram
Dia juga menyasarkan untuk pasukan dilatihnya melayakkan diri ke MPL MY musim ke-14.
“Sasaran saya semestinya adalah melayakkan pasukan ini ke MPL MY musim ke-14. Mereka sememangnya pasukan yang kuat, menjadi satu tanggungjawab saya untuk meluaskan lagi kehebatan mereka bagi menguasai Liga MAL ini,” jelasnya.